mk-logo
Berita
Hutan Jelai 'selamat' dari jadi lombong setakat ini
Diterbitkan:  Mar 16, 2021 3:11 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

Kehijauan kawasan Hutan Jelai Pahang seluas 924 padang bola buat masa ini selamat daripada bertukar menjadi lombong nadir bumi.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam menolak terma rujukan yang dicadangkan oleh syarikat perlombongan untuk penilaian kesan palam sekitar (EIA) terhadap projek tersebut.

Sumber memberitahu Malaysiakini keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pihak berkepentingan yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah JAS Norhazni Mat Sari semalam.

"Terma rujukan (TOR) untuk laporan EIA itu tidak diperakui.

"Jadi buat masa ini, ketua projek perlu menyediakan TOR yang lebih wajar," kata sumber itu.

Projek yang dicadangkan diterajui oleh syarikat perlombongan mineral Aras Kuasa Sdn Bhd (AKSB), yang ingin mengekstrak nadir bumi lantanida dari kawasan hutan itu.

Digunakan secara meluas untuk tujuan industri dan saintifik, lanthanida adalah  serupa yang diproses oleh syarikat nadir bumi Australia Lynas Corporation di Malaysia.

Untuk rekod, secara kimianya, lantanida merujuk kepada lima belas unsur logam nadir bumi, yang bermula dengan lantanum yang bernombor atom 57 dan berakhir dengan lutetium yang bernombor atom 71

Menurut ringkasan mesyuarat yang dilihat oleh Malaysiakini, 27 pihak berkepentingan yang mewakili pelbagai agensi kerajaan, ahli akademik, perunding pakar dan NGO hadir untuk mempertimbangkan terma rujukan tersebut.

Antara kuncinya bahawa tapak perlombongan yang dicadangkan terletak di dalam Hutan Simpan Kekal, tanpa usaha untuk mengubah statusnya.

Berbeza dengan penjelasan terma rujukan AKSB yang menggambarkan tapak perlombongan sebagai tanah terbiar dan telah dibalak hutannya, Jabatan Perhutanan memberitahu mesyuarat itu bahawa sebanyak 397 hektar dari keluasan 660 hektar belum pernah dibalak lagi.

Kawasan hutan selebihnya seluas 263 hektar juga belum ditebang sepenuhnya dan pembalakan terakhir dilakukan di kawasan itu pada tahun 2008, menurut dokumen ringkasan mesyuarat itu.

Ini diperkukuhkan lagi dengan imej satelit yang menunjukkan kawasan itu masih lagi hutan tebal.

Sementara itu, timbul persoalan mengenai cadangan AKSB untuk melombong bijih nadir dengan kaedah "in-situ leaching".

Ringkasan mesyuarat menyatakan AKSB tidak dapat menjelaskan bahan-bahan lain yang mungkin larut ke dalam tanah semasa proses perlombongan yang boleh menimbulkan risiko kepada kampung Orang Asli berdekatan.

Dua kampung Orang Asli - Kampung Jintir dan Pos Lanai - masing-masing terletak dua dan enam kilometer di sebelah tenggara dari tapak projek yang dicadangkan itu.

Pada September tahun lalu, penduduk kampung Orang Asli Pos Lanai mengemukakan surat bantahan terhadap cadangan projek nadir bumi di Jelai kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Kebimbangan lain yang ditimbulkan termasuk ketidakpastian mengenai kemungkinan pelepasan bahan pencemar ke Sungai Telum, sungai utama yang mengalir melalui kawasan yang dicadangkan, yang juga memiliki beberapa anak sungai.

Dokumen ringkasan mesyuarat itu juga menyatakan cadangan AKSB berdasarkan projek perlombongan di selatan China, yang mungkin tidak sesuai di Malaysia.

Ini pembangunan besar kedua dicadangkan untuk kawasan yang telah menimbulkan kebimbangan terhadap alam sekitar.

Sebelum ini, terdapat rancangan membina empangan berhampiran Pos Lanai tetapi projek itu dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2019.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS