Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib lawan permohonan kerajaan AS halang akses dokumen 1MDB

Najib Razak dalam usaha melawan permohonan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk menangguhkan perintah mahkamah agar Goldman Sachs dan bekas pegawainya Tim Leissner menyerahkan dokumen dan testimoni yang penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan berkaitan 1MDB di Malaysia.

Dalam usaha itu, pasukan perundangan Najib di New York bergantung kepada dakwaan yang pentadbiran AS bersekongkol dengan Goldman Sachs untuk menghalang mereka daripada mengakses dokumen yang diperlukan.

Menurut surat daripada pasukan perundangan Najib kepada mahkamah selatan New York bertarikh 14 Mac lalu, mereka berkata yang dakwaan itu sudah memadai untuk mahkamah menolak permohonan kerajaan AS.

Firma Wiggin and Dana, yang mewakili Najib, turut merujuk dakwaan yang terdapat dalam surat oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng bertarikh 12 Mac.

Pasukan perundangan Ng iaitu firma Brafman & Associates PC telah menulis surat kepada mahkamah timur New York dan mendakwa permohonan kerajaan AS itu "bukti jelas bahawa Goldman Sachs adalah sebahagian daripada pasukan pendakwaan, dilindungi secara aktif oleh kerajaan, dan mempunyai kepentingan sama dengan kerajaan.”

“Jika ada keraguan tentang sifat hubungan kerajaan dengan Goldman Sachs sebelum ini, bahkan di tengah-tengah isu yang dibangkitkan usul defendan terhadap Yang Arif, keraguan itu terhapus dengan tindakan pendakwaan satu kes jenayah di timur New York yang mencelah sebagai peguam Goldman Sachs secara percuma dalam kes sivil yang sedang berjalan di mahkamah daerah selatan," menurut peguam Ng.

Tim Leissner

Ng berhadapan satu lagi kes berkaitan 1mDB di mahkamah timur New York.

Surat bertarikh 12 Mac itu juga menyatakan bahawa "peguam Ng tidak pernah berbincang atau berhubung dalam apa bentuk dengan peguam (Najib) Razak," merujuk kepada pasukan peguam Najib di New York.

Sebelum ini, mahkamah selatan New York membenarkan permohonan sapina Najib agar Goldman Sachs dan Leissner menyerahkan dokumen yang dituntut.

Bagaimanapun, kerajaan AS memfailkan permohonan untuk menangguhkan perintah tersebut. Permohonan itu belum didengar.

Menurut surat bertarikh 14 Mac yang dilihat Malaysiakini, pasukan perundangan Najib sekali lagi mengatakan kepada Mahkamah Southern District bahawa bukti dokumen dan testimoni tersebut penting bagi pembelaan pendakwaan jenayah terhadapnya di Malaysia.

“Akhirnya pendedahan peguam Ng menjelaskan lagi yang permohonan kerajaan untuk menangguhkan perintah mahkamah itu perlu ditolak dan sapina terhadap pemohon perlu dikuat kuasa segera,” tegas pasukan perundangan Najib.

Responden dalam perkara ini adalah Goldman Sachs dan Leissner.

Terdahulu, Leissner mengaku bersalah di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York, atas tuduhan merasuah pegawai di Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mendapatkan urus niaga bon bagi pihak Goldman Sachs.

Pada 18 Nov 2020, Najib dilaporkan sedang mendapatkan kebenaran dari mahkamah AS untuk mendapatkan dokumen dan testimoni daripada Goldman Sachs dan Leissner untuk membantu pembelaannya di Malaysia.

Pembelaan berkaitan empat pertuduhan salah guna kuasa kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM2.28 bilion milik 1MDB.

Perbicaraan sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 16 Feb lalu, ketua pasukan pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah cuba mendapatkan penangguhan perbicaraan susulan permohonan di New York.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan terbabit.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam Najib, Tania Scivetti mengesahkan penghantaran surat tersebut kepada mahkamah selatan New York.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS