mk-logo
Berita
Selangor digesa warta Rimba Komuniti Shah Alam sebagai hutan simpan

Kumpulan alam sekitar Shah Alam Community Forest Society (SAFCS) menggesa kerajaan negeri Selangor memperakui kesilapan meletakkan Rimba Komuniti Shah Alam sebagai tanah pembangunan komersial dan tanah perkuburan.

Kerajaan negeri juga digesa supaya memperakuinya status kawasan itu sebagai Hutan Simpan Kekal.

Rimba Komuniti Shah Alam seluas 1,114 ekar dan sebenarnya menjadi sebahagian kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang terletak di Seksyen U10, Shah Alam.

Salah seorang pengasas SAFCS, Dr Teckwyn Lim mendakwa Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor tidak menghiraukan fakta kawasan tersebut sebahagian dari hutan simpan.

Lim yang juga pensyarah Fakulti Alam Sekitar dan Sains Geografi di Universiti Nottingham Malaysia berkata sesi pendengaran awam wajar diadakan bagi menjelaskan struktur pelan yang akan dibangunkan di kawasan tersebut.

“Ia sangat memeranjatkan apabila Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor mengabaikan hakikat yang ia merupakan kawasan hutan simpan, tidak menyebut mengenainya bahawa ia adalah hutan simpan dalam Pelan Tempatan itu.

“Dan saya rasa ia membangkitkan persoalan berhubung kesahihan pelan tempatan itu ketika pelan tempatan itu dibuka untuk rundingan umum.

"Mereka (JPBD) tutup mulut bahawa kawasan tersebut merupakan hutan simpan, di mana ia menimbulkan salah faham kepada orang ramai,” katanya.

Lim berkata peguam SAFCS bersama gabungan NGO lain telah menghantar surat kepada pihak kerajaan negeri meminta penjelasan mengenai hal itu.

Bagaimanapun, katanya setakat ini tiada sebarang maklum balas rasmi daripada kerajaan Selangor diterima.

“Kita telah hantar surat kepada kerajaan negeri membangkitkan mengenai isu tersebut dan meminta untuk mengadakan pertemuan segera bagi membincangkannya dalam kadar segera,” katanya pada satu forum atas talian hari ini.

Rimba Komuniti Shah Alam juga dikelilingi oleh kawasan pembangunan perumahan Setia Alam, Alam Budiman, Bandar NusaRhu and Bukit Bandaraya housing developments.

Kawasan rimba tropika itu jenis hutan dataran rendah semula jadi seluas kira-kira 400 ekar dan membentuk bahagian terbesar koridor hutan Bukit Cherakah.

Dilaporkan, kira-kira 70 peratus daripada Rimba Komuniti Shah Alam adalah milik PKNS untuk pembangunan komersial masa depan dan 30 peratus lagi milik kerajaan Selangor yang diletakkan sebagai sebagai tanah kerajaan negeri untuk kawasan perkuburan.

MBSA baru-baru ini mengeluarkan rancangan untuk membina jalan melintasi bahagian tanah kerajaan negeri itu yang juga merupakan bahagian hutan yang paling berharga.

Untuk rekod, SAFC antara salah satu dari beberapa kawasan hutan yang tinggal di Lembah Klang berfungsi sebagai paru-paru hijau kota serta dapat diakses oleh orang ramai untuk rekreasi dan kegunaan pendidikan. 

Lihat Komen
ADS