Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sediakah Umno duduk semeja dengan DAP, tanya Loke
Diterbitkan:  Mar 19, 2021 9:46 AM
Dikemaskini: 1:52 AM

DAP kini bersedia duduk semeja dan berbincang dengan Umno selagi parti itu mengecualikan pemimpin "korup" mereka, kata salah seorang pemimpin kanannya.

Menurut Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke persoalan kini ialah, sama ada Umno bersedia melakukan hal sama dengan mereka atau sebaliknya.

Kata Loke semakin ramai orang berpendapat satu daripada cara untuk menyelesaikan krisis politik yang sedang dialami negara ini ialah membawa DAP dan Umno untuk berbincang.

"Tetapi ini perlukan keberamian politik dan kesungguhan daripada kedua-dua pihak. Adakah Umno bersedia untuk bercakap mengenainya?

"Bagi DAP sudah tentu kami bersedia untuk berbincang," kata Loke dalam wawancara bersama Astro Awani malam tadi.

Untuk rekod ketika ini PKR sedang berhubung dalam rundingan tidak rasmi dengan Umno seperti yang diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim kelmarin.

Dipercayai rundingan itu membabitkan pemimpin Umno yang digelar "kluster mahkamah" kerana sedang berdepan dengan perbicaraan tuduhan rasuah di mahkamah. Antaranya presiden Umno sendiri iaitu Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun ketika ini kemungkinan kerjasama daripada rundingan presiden PKR dan Ahmad Zahid itu tertakluk kepada persetujuan parti lain dalam PH.

Menurut Loke, DAP menetapkan syarat yang jelas berhubung kerjasama mereka dengan Umno.

"Kami tidak akan bekerjasama dengan sebarang pemimpin yang korup, yang disabitkan atau didapati bersalah oleh mahkamah - untuk membentuk kerajaan," katanya.

Syarat lain, kata ahli parlimen Seremban itu lagi, termasuk persoalan kemungkinan PH membentuk kerajaan dengan "pemimpin tertentu Umno" tanpa melalui pilihan raya.

Pada masa sama perlu diingat pemimpin Umno juga berkali-kali menegaskan mereka tidak mahu bekerjasama dengan DAP.

Namun Loke berpendapat keadaan mungkin akan berubah selepas PRU akan datang.

"Jika tiada mana-mana parti yang benar-benar memenangi PRU akan datang, anda perlu memikirkan bagaimana membentuk rakan kongsi baru, gabungan baru dan ia hanya boleh terjadi selepas PRU," katanya.

Sementara itu kerjasama Umno dan DAP sebenarnya bukanlah terlalu asing.

Pada Dis tahun lalu kedua-dua parti saling bersatu dalam DUN Perak untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu daripada kerusi menteri besar.

Di Johor pula kerajaan negeri yang diterajui Umno melayan pembangkang - termasuk 14 Adun DAP - sebagai rakan strategik.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS