Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Penerangan PKR Perak Muhammad Arafat Varisai Mahamad menegaskan bahawa parti itu tidak sesekali akan menerima apa yang disifatkannya sebagai "pengkhianat mandat rakyat".

Ia selepas ada dakwaan seorang Adun Perikatan Nasional (PN) berhasrat untuk menyertai PKR.

"Rakyat tidak akan memandang remeh pengkhianatan yang telah menyebabkan keruntuhan sebuah kerajaan.

"Kita berpegang teguh soal integriti dan prinsip, justeru tiada tempat untuk pengkhianat mandat rakyat dalam PKR Perak," katanya kepada Malaysiakini.

Dia juga mendakwa kebanyakan wakil rakyat yang keluar PH sebelum ini kian menyedari bahawa "kerajaan tebuk atap" (merujuk kepada PN) semakin dibenci rakyat.

Terdahulu, satu sumber daripada PKR Perak mendakwa Adun tersebut berjumpa dengan seorang ketua cabang untuk menyatakan hasrat menyertai parti itu.

"Namun hasrat dia ditolak," dakwanya kepada Malaysiakini.

Muhammad Arafat Varisai Mahamad

Dia mendakwa Adun tersebut merupakan salah seorang daripada tujuh wakil rakyat yang keluar PH yang membawa kepada keruntuhan kerajaan negeri pada Mac tahun lalu.

"Pada masa itu, dia dijanjikan habuan oleh kerajaan baru. Namun selepas Perak sekali lagi berdepan krisis menyebabkan Bersatu terpaksa serah jawatan menteri besar kepada Umno.

"Ini menjadikan kedudukannya terjejas dan cuba pujuk PKR dalam usaha mencari platform baru bagi menghadapi pilihan raya akan datang," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi PN Perak untuk mendapatkan maklum balas berkenaan dakwaan ini.

Kerajaan PH tumbang di Perak setelah gabungan Perikatan Nasional (PN) menguasai 32 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Seramai tujuh Adun yang sebelum ini membentuk kerajaan negeri PH menukar sokongan pada Mac tahun lalu, iaitu Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang); Zainol Fadzi (Bersatu- Sungai Manik); Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Bersatu-Tualang Sekah); Abdul Yunus Jamhari (PKR- Kuala Krau); Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim (Amanah-Titi Serong); Sivasubramaniam Athinarayanan (DAP- Buntong) dan Paul Yong Choo Kiong (DAP- Tronoh).

Lihat Komen
ADS