mk-logo
Berita
Anwar dah jadi PM jika sertai 'Langkah Sheraton' - Nik Nazmi
Diterbitkan:  Mar 20, 2021 10:49 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Jika Anwar Ibrahim ingin jadi perdana menteri telah lama dia membawa PKR untuk sertai "Langkah Sheraton", kata Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi mendakwa Anwar pernah ditawarkan untuk menjadi sebahagian daripada “Langkah Sheraton” bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun katanya, ketua pembangkang itu tetap menolak dan memilih untuk setia bersama sekutunya dalam PH.

"Jika Anwar mahu jadi perdana menteri, sudah lama beliau buat.

“Malah pada Langkah Sheraton (Februari 2020) baru-baru ini, beliau turut diminta untuk membawa PKR ke dalam gabungan baru, namun ketika itu syaratnya adalah ‘tiada DAP’.

“Anwar tidak setuju,” katanya pada satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Nik Nazmi tidak menjelaskan perincian dakwaannya itu, tanpa menyebut siapa yang mengundang Anwar untuk menjadi sebahagian daripada langkah berkenaan.

"Anwar tidak sanggup untuk tinggalkan sekutu PH, DAP kerana penyokong Langkah Sheraton hanya mahukan PKR dan bukan DAP," kata Nik Nazmi lagi.

Pada 16 Mac, Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilaporkan tidak menolak kemungkinan parti you menjalinkan kerjasama dengan Umno.

Bagaimanapun katanya, perbincangan mengenainya masih belum dilakukan secara formal.

Anwar berkata, kerjasama itu disokong beberapa pemimpin dan ahli Parlimen daripada Umno.

Kerajaan PN ditubuhkan selepas Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin bertindak meninggalkan PH pada Feb tahun lalu.

Ia kemudiannya disusuli dengan tindakan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan kemnya bertindak meninggalkan PKR.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut mengulas mengenai perjanjian peralihan kuasa antara bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar ketika PH berkuasa.

Dakwanya, Mahathir hanya berminat untuk memperkukuh kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu.

“Perjanjian dua tahun mengenai Anwar menjadi perdana menteri adalah untuk mengaburi mata kerana Mahathir menarik ahli parlimen Umno untuk memperkukuhkan kedudukannya, walaupun ketika kita memiliki jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan.

“Tidak perlu (untuk meminta anggota Parlimen beralih sokongan) pada ketika itu kerana kami menang dan mempunyai majoriti cukup di parlimen, dan kami boleh membentuk kerajaan.

“Orang-orang mula bercakap-cakap ketika ahli parlimen Umno melompat, bertanyakan apakah Mahathir mengingkari perjanjian dengan Anwar. Jelas, jika dilihat di belakang, memang begitu,” katanya.

Lihat Komen
ADS