mk-logo
Berita
Lebih 3,000 penduduk Orang Asli bantah projek empangan Nenggiri
Diterbitkan:  Mar 22, 2021 4:39 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Lebih 3,000 penduduk Orang Asli manandatangani memorandum bantahan projek pembinaan empangan hidroelektrik Neggiri di Gua Musang, Kelantan.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along berkata, pihaknya mewakili suara penduduk terbabit menggesa supaya projek itu dibatalkan kerana akan memberi dampak buruk terhadap kelestarian alam, sumber penghidupan, perkampungan dan tanah adat Orang Asli.

Antara lain dakwanya, projek itu akan menenggelamkan 5,384 hektar kawasan hutan yang merupakan tanah adat, wilayah warisan dan kawasan rayau Orang Asli di Gua Musang.

"Menurut laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), sebelum pembinaan empangan dilakukan, pihak pemaju juga akan menjalankan aktiviti pembalakan dan kuari sebelum kawasan terbabit ditenggelami air.

"Empat kawasan penempatan Orang Asli akan terjejas secara langsung dan tenggelam sepenuhnya iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat, Kampung Wias dan Kampung Bering.

"Ia membabitkan seramai 1,185 orang daripada 217 keluarga akan dipindahkan ke Kampung Kuala Yai dan 18 kampung akan terjejas secara tidak langsung.

"Secara ringkasnya, pembinaan empangan ini akan menenggelamkan dan memusnahkan sebahagian besar kawasan hutan, tanah adat dan wilayah kami di mana di situlah tempat kami mendapatkan bekalan air bersih untuk keperluan hidup.

"Ia akan menjejaskan aktiviti memburu dan menuai ulam-ulaman serta tumbuhan hutan, sumber ubat-ubatan, bahan pembinaan rumah, bahan untuk upacara adat, budaya dan agama, kawasan kubur nenek moyang, mendapatkan keselamatan daripada bencana alam, eko-pelancongan dan menuai hasil-hasil hutan untuk menjana ekonomi seperti rotan, akar kayu, buah-buahan dan lain-lain lagi," katanya pada sidang media di Kuala Betis, Gua Musang, hari ini.

Untuk rekod, kerajaan Kelantan melalui Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah sebelum ini memaklumkan kerja-kerja awal sebelum pembinaan empangan itu akan dilakukan pada Mac tahun depan.

Katanya, ia melibatkan proses pembinaan penempatan baru termasuk rumah, sekolah dan kemudahan asas yang lain. 

Sementara itu Mustafa berkata, projek itu juga bakal menenggelamkan kawasan yang mempunyai nilai sejarah penting bagi komuniti Orang Asli Temiar terutama sekali Gua Cha dan Gua Chawas yang menjadi bukti kewujudan awal kaum Orang Asli Temiar selain mempunyai artifak yang membentuk kronologi sejarah awal Kelantan. 

Selain itu katanya, tapak prasejarah yang berdekatan Pos Pulat dan empangan utama yang mempunyai nilai sejarah dan arkeologi yang tinggi, termasuk Gua Keledung, Gua Cahaya, Gua Kecil, Gua Lubang Kelewar, Gua Perdang, Gua Rahmat, Gua Kemiri dan Gua Tok Batin juga bakal tenggelam.

"Maka projek ini akan menghapuskan sejarah kewujudan Orang Asli Temiar di Semenanjung Malaysia. Projek ini juga akan menenggelamkan salah satu jalan utama menuju ke Pos Simpor.

"Jika perkara ini dilaksanakan kelak komuniti Pos Simpor terpaksa menempuh perjalanan yang lebih jauh kerana perlu melalui Pos Bihai sebelum boleh sampai ke Kuala Betis sebelum keluar ke bandar Gua Musang.

"Selain itu, projek ini memberi kesan buruk yang lain seperti menyebabkan pencemaran udara, air, bunyi dan getaran sewaktu aktiviti pra-empangan (pembalakan dan kuari) dan pembinaan empangan, merosakkan sistem sungai, hakisan tanah, memusnahkan flora dan fauna serta menyebabkan pencerobohan hidupan liar ke atas tanah pertanian Orang Asli dan penempatan kami termasuk memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan kami," jelasnya.

Justeru gesa Mustafa, pihaknya menuntut supaya kerajaan persekutuan dan negeri tidak meluluskan aktiviti pembalakan dan perlombongan di kawasan cadangan terutamanya kawasan hutan Gua Musang dan hulu Kelantan kerana ia penyumbang utama kepada krisis banjir dan kemarau.

"Kami memohon pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk memilih alternatif lain yang kurang berisiko seperti mewujudkan empangan kecil di beberapa kawasan sekitar Machang dan Tanah Merah serta di Pasir Mas untuk mengatasi masalah banjir dan masalah air di musim kemarau, sebagaimana cadangan alternatif yang dikemukakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Kami juga memohon pihak kerajaan persekutuan, negeri dan juga Tenaga Nasional Berhad untuk memilih sumber tenaga lain yang lebih bersih hijau dan mampan daripada mengorbankan hutan dan alam sekitar yang tidak ternilai harganya.

"Kita juga mohon pihak terbabit menghormati hak-hak komuniti Orang Asli terhadap mengekalkan adat budaya, tanah dan hutan mereka sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui undang-undang seperti Akta Orang Asli 1954 dan juga Perisytiharan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asli (UNDRIP) yang ditandatangani Malaysia pada 2007," kata Mustafa.

Selain itu, mereka juga kesal apabila tidak diterangkan dengan jelas dengan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) dan tidak tidak dibenarkan melihat kandungan laporan berkenaan.

"Selepas ini, kami juga akan menyerahkan memorandum dan lampiran tandatangan kepada pelbagai agensi termasuk pihak TNB, kementerian yang berkaitan serta agensi-agensi kerajaan yang lain bagi membatalkan projek ini.

"Jika tiada sebarang respon atau tindakan untuk membatalkan projek ini, pihak kami akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah bagi menghentikan aktiviti-aktiviti yang melibatkan projek pembinaan empangan Nenggiri ini," tegas Mustafa lagi.

Sebagai rekod, bantahan penduduk Orang Asli berkait projek tersebut sudah bermula sejak empat tahun lalu selepas kerajaan persekutuan melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan pada 2015.

Lihat Komen
ADS