Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rangka manusia prasejarah 8,000 dijumpai di Kelantan
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 2:52 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Rangka manusia prasejarah yang diangarkan berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun ditemui di Ulu Kelantan, Kelantan pada 2 November lalu.

Menurut Jabatan Warisan Negara (JWN), rangka itu ditemui semasa aktiviti ekskavasi arkeologi dijalankan di Gua Chawan oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama mereka dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Penemuan rangka manusia prasejarah Gua Chawan, Lembah Nenggiri ini antara jumpaan penting bagi arkeologi negara kerana dapat memberi fakta baru terhadap amalan pengebumian dan budaya kehidupan zaman prasejarah di Malaysia,” kata JWN.

Dalam kenyataan hari ini, JWN berkata rangka dipercayai remaja wanita itu ditanam menghadap ke bahagian kanan dalam keadaan sedikit melipat dengan bahagian muka menghala ke arah utara dan bahagian lutut menghala ke bahagian selatan.

Tangan kanan rangka tersebut memegang makanan berupa siput serta alat repeh manakala sisa makanan yang berupa barangan iringan ditemukan di dalam bahagian mulut si mati. Di bahagian kaki pula diletakkan batu pengisar-memukul sebagai alat iringan si mati.

Menurut pentarikhan relatif awal,rangka ini dipercayai berumur antara 6,000 hingga 8,000 tahun lalu.

Sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan pentarikhan kronometrik.

Selain daripada rangka manusia prasejarah, artifak lain turut ditemui seperti alat litik, sisa makanan berupa tulang binatang, dan cengkerang siput, brutia costula serta serpihan tembikar tanah.

Alat titik yang ditemui pula termasuklah alat pengetuk, alat batu pengisar, alat batu pengisar dan menumbuk, batu pelandas, alat batu unifas, alat batu bifas, pahat batu, mata lembing dan alat repeh.

Survei dan ekskavasi tersebut dibuat untuk merekodkan data tapak-tapak sedia ada dan tapak-tapak baru yang terdapat di lembangan Sungai Nenggiri yang akan terkena impak akibat daripada pembinaan empangan hidro elektrik yang dirancang pembinaannya pada masa terdekat.

Rangka manusia prasejarah tersebut telah dibawa keluar dari Gua Chawan pada 10 November lalu dan ditempatkan di makmal sementara konservasi JWN untuk kerja-kerja merekod dan pemuliharaan rangka secara menyeluruh yang mengambil masa sekurang-kurangnya 60 hari.

Segala jumpaan di Gua Chawan sangat penting bagi merungkai budaya masyarakat primitif dan kehadiran manusia prasejarah di sepanjang gugusan gua kompleks batu kapur Lembah Nenggiri, Ulu Kelantan.

Lihat Komen
ADS