mk-logo
Berita
Isu Undi 18: 'Umno dalam kabinet jadi tunggul kayu?'
Diterbitkan:  Mar 26, 2021 4:30 AM
Dikemaskini: 4:30 AM

Syahredzan Johan yang merupakan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menegaskan bahawa pemimpin Umno dalam kabinet kerajaan sewajarnya meletakkan jawatan jika tidak bersetuju dengan poenangguhan Undi 18.

Seruan itu hadir selepas pemimpin Umno dilihat semakin sering mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN), meskipun parti itu sebahagian daripada kerajaan.

Syahredzan juga berkata pemimpin Umno tidak seharusnya hanya menuding jari pada menteri PAS berhubung penangguhan pendaftaran pengundi automatik dan penurunan umur minimum pengundi kepada 18 tahun.

Ini selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang juga menteri undang-undang menjadi tumpuan kritikan berhubung isu itu.

"Geli betul tengok percubaan orang Umno nak taichi isu Undi 18 ni pada menteri PAS sahaja. Umno dalam kabinet ni apa? Tunggul kayu ke?

"Tak setuju Undi 18 tangguh, letak jawatanlah. Ini soal teras," katanya di Twitter.

Selain itu, Syahredzan menyorot bahawa Umno seharusnya turut menggalas tanggungjawab dalam keputusan kerajaan memandangkan pemimpin mereka juga memegang jawatan dalam kabinet dan menerima gaji.

"Kompaun RM10,000 (langgap SOP Covid-19) bukan salah Umno, walaupun Umno dalam kabinet dan menteri kanan pun Umno.

"Undi 18, pun bukan salah Umno, walaupun Umno dalam kabinet dan menteri belia adalah (dari kalangan pemimpin) Umno.

"Jadi kira Umno ni dapat jawatan, gaji tanpa ada kebertanggungjawaban?" soal Syahredzan.

"Bestnya hidup, dapat semua kelebihan, semua manfaat, tapi tak perlu bertanggungjawab. Mana nak dapat kerja macam ni?" sindir Syahredzan.

Untuk rekod, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob adalah menteri kanan yang menjaga portfolio keselamatan sementara Anggota Majlis Tertinggi Umno, Reezal Merican Naina Merican menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

Awal bulan ini, kerajaan meningkatkan denda atas pelanggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada RM10,000 daripada RM1,000 untuk individu. Ia mengenakan denda maksimum RM50,000 untuk syarikat.

Jumlah denda itu berdasarkan tiga kategori kesalahan - berat, sederhana dan normal - berdasarkan risiko yang ditimbulkan oleh kesalahan tersebut. Mereka yang memilih untuk menyelesaikan denda dalam masa tujuh hari akan layak mendapat potongan 50 peratus, sementara mereka yang membayar dalam masa 14 hari akan mendapat potongan 25 peratus.

Sebelum ini, Umno bersama-sama dengan parti pembangkang lain menawarkan bantuan undang-undang kepada mereka yang dilihat didenda secara tidak adil kerana mencabul SOP.

Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak juga mengkritik kenaikan denda maksimum RM10,000 secara drastik.

Umno juga dilihat tidak bersetuju pelaksanaan Undi 18 ditangguh ke September 2022, selepas ia direncana untuk dilaksanakan pada bulan Julai tahun ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengatakan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah menjejaskan perancangan dan persiapan untuk pelaksanaan Undi 18.

Namun, pengkritik berpendapat tidak ada alasan mengapa sistem pendaftaran pengundi yang sedia ada tidak dapat diperluas kepada belia berusia 18 tahun.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini