Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jika boleh Ku Li mahu menteri, timbalan letak jawatan hari ini

Sejurus selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) mengesahkan keputusan majlis tertinggi (MT) mereka untuk menamatkan sebarang kerjasama dengan Bersatu, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sepatutnya semua ahli parti yang memegang jawatan dalam kabinet, kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu tarik diri secepat mungkin.

Ditanya pandangannya terhadap ucapan dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum itu Tengku Razaleigh berkata: "Dia (Ahmad Zahid) menegaskan sekali lagi apa yang diputuskan oleh MT bahawa kita akan putus kerjasama dengan Bersatu. Juga bererti semua ahli Umno yang menjadi menteri, timbalan menteri yang pegang jawatan pengerusi GLC mesti tarik diri. Kalau boleh hari ini.”

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu berkata demikian semasa ditemui media di PWTC hari ini.

Ketika ini secara keseluruhan Muhyiddin Yassin melantik 69 orang menteri dan timbalan menteri. Daripada jumlah itu 14 adalah wakil Umno. Seramai 12 orang lagi sedang berkhidmat dalam GLC.

Tengku Razaleigh berkata dia memang menyambut baik ucapan dasar Ahmad Zahid dan menganggapnya sebagai bernas dan tegas.

Ditanya mengenai kesungguhan agar Umno menarik diri daripada kerajaan PN sekarang apabila PAU mengesahkan keputusan MT, ahli parlimen Gua Musang itu menjawab: "Mesti."

Mengulas gesaan Tengku Razaleigh, salah seorang menteri Umno, Shamsul Anuar Nasarah berkata, dia akan akur sekiranya parti meminta untuk melepaskan jawatan kabinet itu.

Menteri tenaga dan sumber asli itu berkata agenda peribadi tidak boleh melebihi agenda parti.

“Sebagai pemimpin kita akan akur apa juga keputusan parti kerana kita tak boleh letakkan agenda peribadi lebih penting daripada parti,” katanya yang juga merupakan anggota parlimen Lenggong. 

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan 
Lihat Komen
ADS