Paling Popular
Terkini

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak saman yang dikemukakan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terhadap bekas naib presiden Amanah Husam Musa.

Peguam yang mewaliki Husam, Shamsul Baharin Abdullah, berkata keputusan itu dibuat hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam sidang yang dijalankan secara dalam talian.

"Mahkamah juga mengarahkan AKSB membayar kos perbicaraan terhadap anak guam kami," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Selain Shamsul Baharin, Husam turut diwakili peguam Alawi Abdul Rashid, Noorazham Yahaya dan Rusilawati Zakaria, manakala AKSB diwakili pasukan peguam yang diketuai Pengerusi Lujnah Undang-undang PAS Kelantan, Nik Bahrum Nik Abdullah.

Difahamkan mahkamah mendapati pembelaan yang dibangkitkan Husam adalah berasas dan boleh diterima pakai.

Sebagai rekod Husam yang juga anggota Dewan Negara pada 5 Mac 2018 meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung kelulusan tender projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa 11 (Pakej 1) yang bernilai RM27.1 juta.

Dia mendakwa, surat tawaran tender projek diberikan kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV pada 22 Januari 2015 sedangkan ketika itu syarikat berkenaan masih belum didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Bagaimanapun Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB Hanifa Ahmad sebaliknya berkata, syarikat terbabit hanya 'menukar nama'.

Hanifa juga menjelaskan AKSB melantik Cdah Construction dan Jangka Prestasi yang terlibat dalam usaha sama selepas syarikat terbabit lulus semua peringkat penilaian jawatankuasa tender. 

Susulan itu pada 28 Mei 2018, AKSB mengambil tindakan undang-undang untuk menyaman Husam yang juga bekas exco kanan Kelantan. 

Sementara itu Shamsul Bahari berkata pihaknya dalam pembelaan kes membangkitkan isu justifikasi, komen berpatutan dan kelayakan hak istimewa (qualified priviledge) iaitu kenyataan Husam dibuat agar supaya siasatan dibuat oleh pihak berkenaan terhadap isu itu.

Sementara itu dalam perkembangan sama Nik Bahrum memaklumkan hakim menetapkan kos minimun sahaja sebanyak RM1,000 atas alasan tidak ada penyelewengan dan unsur pecah amanah sebagaimana dakwaan.

Katanya, kes tersebut juga dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sehingga perbicaraan tidak ada pendakwaan atau tindakan diambil ke atas AKSB atau mana-mana individu dalam syarikat berkenaan.

"AKSB dikenakan kos sebanyak RM1,000 apabila ditolak dengan kos yang dikenakan terhadap defendan dalam kes ini sebanyak RM3,000, Husam masih ‘berhutang’ RM2,000," jelasnya.

Lihat Komen
ADS