mk-logo
Berita
'Shahidan boleh tolak keputusan parti tapi kena tanggung akibat'

Perhimpunan agung Umno pada Ahad lalu bersetuju memberikan mandat kepada majlis tertinggi parti itu untuk menentukan bilakah tarikh yang tepat untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan keputusannya untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Tiga hari kemudian, ahli parlimen Arau, Shahidan Kassim berkata keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan PN terletak di tangan setiap anggota parlimen dan bukan majlis tertinggi, sekali gus dilihat bercanggah dengan pendirian parti.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Umno tidak bersetuju dengan pandangan pengerusi Umno Perlis, yang juga ahli majlis tertinggi Umno itu.

Mereka sebaliknya menuntut agar semua anggota parlimen daripada Umno  menghormati keputusan majlis tertinggi.

"Shahidan boleh menolak keputusan parti tapi dia kenalah menanggung apa sahaja akibat dari keputusannya itu. 

"Bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan yang diambil oleh kita adalah suatu aspek penting kematangan diri kita," kata Ketua Bahagian Umno Johor Bahru, Shahrir Samad kepada Malaysiakini.

Bekas ahli parlimen Johor Bahru itu menegaskan semua ahli parlimen yang memenangi kerusi mereka di bawah tiket Umno harus menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat parti itu.

 "Satu cara yang terhormat membantah atau menolak keputusan itu ialah dengan tidak lagi menawar diri untuk menjadi calon pada PRU akan datang," katanya.

'Apa  bodoh sangat '

Seorang lagi ahli majlis tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman mempersoalkan kenyataan Shahidan, yang disifatkannya sebagai "bodoh".

"Yalah, ahli-ahli parlimen tu diorang apa partinya? Jadi ahli parti mana? Umno  BN-lah. Apa bodoh sangat Shahidan tu?" katanya.

Tajuddin menggesa ahli-ahli parlimen Umno yang tidak setuju dengan keputusan parti itu untuk keluar daripada PN agar membuat keputusan sama ada mahu kekal bersama Umno atau sebaliknya.

Dia berkata, ingkar kepada keputusan  dan arahan parti merupakan suatu kesalahan besar.

 "Orang yang macam ni elokkah dia berada dalam parti? Dia merupakan gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut. Dah sampai masanya kita secara terus terang, malas nak berlindung-lindung la

"Kita malas nak bercakap selama hari ni.Sekarang ni dia orang buat keputusan, nak bersama parti atau tak nak bersama parti. Habis. 

"PAS dah buat keputusan, presiden umum apa PAU putuskan. Bukan keputusan presiden, keputusan PAU," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin ketika dihubungi berkata kenyataan Shahidan hanya "pandangan peribadi".

Ketika ditanya apa akan terjadi jika ada ahli parlimen Umno mahu kekal memegang jawatan menteri atas kapasiti peribadi, Khaled berkata 'bila sampai masa parti akan buat keputusan'.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini