Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Putrajaya kaji semula rancangan pengambilalihan lebuh raya milik Gamuda
Diterbitkan:  Apr 6, 2021 9:47 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Putrajaya tidak akan meneruskan rancangan untuk mengambil alih empat lebuh raya yang dimiliki oleh Gamuda Bhd yang diusul ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), dan sebaliknya sedang mengkaji cadangan baru yang dikemukakan.

Bercakap kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof dipetik berkata bahawa kerajaan tidak akan meneruskan rancangan itu kerana pertimbangan kewangan negara.

"Namun Gamuda kembali dengan cadangan baru untuk skema baru seperti apa yang dilakukan oleh Plus, di mana konsesi akan diperpanjang, dengan kadar tetap tetapi itu sekarang sedang dikaji," katanya, seperti dilapor Malay Mail.

Fadillah mengatakan bahawa kerajaan juga mempertimbangkan situasi yang dihadapi oleh pengusaha lebuh raya lain di Lembah Klang.

"Kita harus melihat keseluruhan pakej, kerana ada lebuh raya yang menguntungkan dan ada yang mengalami kerugian, jadi kita harus melihat keseluruhan pakej untuk mencari jalan keluar untuk masalah yang kita hadapi sekarang," katanya .

Semasa pentadbiran PH, Putrajaya telah menawarkan RM6.2 bilion untuk memperoleh saham Gamuda Bhd dalam syarikat yang mengendalikan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyebaran Lalu Lintas KL Barat (Lebuhraya Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng mengatakan, keempat-empat lebuh raya itu memiliki 48 peratus dari saham lebuh raya tol bandar, berdasarkan hasil yang dikumpulkan.

Pentadbiran PH berencana untuk menggunakan langkah itu bagi melaksanakan sistem "caj kesesakan", di mana pengguna akan membayar caj yang lebih rendah atau tidak, pada waktu di luar waktu kemuncak.

Namun, satu-satunya dasar utama lebuh raya yang berjaya dilaksanakan PH sebelum digulingkan pada bulan Mac 2020 adalah pemotongan tol sebanyak 18 peratus untuk Lebuh Raya Plus.

Lihat Komen
ADS