Malaysiakini
BERITA

Rakaman audio fitnah, tipu helah pimpinan negara - Anwar

Diterbitkan
Dikemaskini 4:04 petang

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menafikan bahawa dia adalah pemilik suara yang dirakam dalam perbualan telefon dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa klip audio berkenaan merupakan usaha daripada kepimpinan negara setelah gagal "mengugut" dan "merasuah" pemimpin pembangkang.

"Saya malam ini ingin nyatakan bukan sahaja penafian, tetapi ternyata, selain menafikan, ia menunjukkan betapa gundah-gulananya pimpinan negara ini mencari apa saja tipu helah, ugut, beri orang rasuah, tak makan (tak dapat merasuah), maka dia sebar fitnah," katanya ketika berucap semasa melancarkan bilik operasi PKR di Selangor malam ini.

Sejak semalam rakaman audio selama empat minit itu beredar dalam talian di mana individu yang suaranya mirip Anwar didengar memuji individu yang memiliki suara seakan Zahid kerana berjaya mengendalikan Perhimpunan Agung Umno.

Zahid juga menafikan suara dalam audio berkenaan adalah miliknya dan mengatakan telah mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis.

Anwar berkata, fitnah menggunakan rakaman audio itu digunakan untuk mencetuskan pertelingkahan di kalangan pemimpin Umno.

"Saya nak sebut, (audio) ini nak gunakan kita nak lawan politik dalam Umno, nak gunakan kononnya perbualan saya dan Datuk Seri Zahid untuk politik Bersatu nak menikam pimpinan Umno.

"Ini bukan kerja saya. Sebab itu saya akan arah pegawai saya buat laporan polis, biar dia (polis) siasat siapa yang punca.

"Ada yang suara macam saya, saya tak peduli. Ternyata ada usaha untuk memfitnah, merekayasa dengan lebih canggih," katanya menambah bahawa DAP dan Amanah merupakan rakan setia PKR dan tidak akan terpengaruh dengan 'fitnah' tersebut.

Bulan lalu, dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, Anwar mengakui bahawa PKR dan Umno mengadakan pertemuan tidak rasmi untuk membincangkan kerjasama bagi menyelamatkan negara dari kehancuran.

Dalam sidang media selepas itu, Anwar menjelaskan bahawa walaupun terdapat perbincangan, masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai kemungkinan kerjasama berkenaan.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang juga mengesahkan bahawa parti itu di peringkat awal perbincangan dengan Umno.

Namun semasa perhimpunan agung Umno, Zahid mengulangi pendirian bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Anwar mahupun DAP.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.