Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Liu: Jangan bataskan peranan DAP hanya untuk dapat sokongan Melayu

Konflik dalam DAP mulai muncul semula ketika parti itu bersiap sedia menghadapi pemilihan kongres nasionalnya dan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) pada Jun.

Anggota jawatankuasa pusat DAP, Ronnie Liu berkata, parti itu tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

“DAP adalah parti pelbagai kaum. Parti ini tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik kita.

"Kita harus memelihara budaya parti, serta semangat perlembagaan parti, perjuangan politik pluralistik dan demokratik.

"DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia. Kita perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu yang lain, tetapi kita tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri kita sebagai parti bukan Cina.

"Kamu tidak akan mendapat sokongan orang Melayu dengan pendekatan ini," kata Liu, ketika memberi ucapan pada majlis pelancaran buku veteran DAP Liew Ah Kim di Klang, semalam.

Menyebut mengenai suara akar umbi dan penyokong parti itu, Liu juga mendesak kepimpinan DAP ketika ini mengambil tanggungjawab bagi memulihkan reputasi parti itu.

“DAP tidak boleh berpura-pura tidak ada apa yang berlaku ketika reputasinya semakin merudum terutama di kalangan masyarakat Cina dan India," tegasnya.

Liu menegaskan perlunya parti itu mendapatkan sokongan dan memainkan peranannya dalam Pakatan Harapan untuk menyatukan parti-parti komponen.

Katanya, DAP harus bekerjasama dengan NGO berbilang kaum yang mahukan Malaysia yang lebih baik untuk menewaskan "kerajaan Melayu" Perikatan Nasional.

Liu berkata pentadbiran PH selama 22 bulan amat mengecewakan dan tindakan ahli politik melompat parti menyebabkan penyokong tidak mahu lagi mengundi pada pilihan raya akan datang.

"Ini membimbangkan. DAP dan PH mesti pandang serius dan mencari jalan untuk membuat perubahan."

"Pada masa ini saya tidak melihat PH mendekati atau mendidik pengundi baru. Ini adalah sesuatu yang perlu ditumpukan oleh semua ahli politik, kita tidak boleh tunggu sehingga pilihan raya tiba," katanya.

PH tak perlu kerjasama dengan Dr M lagi

Sambil memuji langkah PH, termasuk mencalonkan presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri pada PRU15 dan terbuka untuk rundingan dan kerjasama dengan mana-mana kumpulan, Liu mengingatkan bahawa PH tidak boleh bekerjasama dengan Pejuang dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Malangnya beberapa pemimpin kita menyatakan bahawa mereka bersedia bekerjasama dengan Pejuang. Pejuang dipimpin oleh Mahathir, bagaimana PH dapat bekerja dengannya lagi? Kita akan hilang penyokong," katanya.

Dalam ucapannya, Liu turut meminta maaf kerana mempertahankan Mahathir sebelum pilihan raya umum 2018 dan mendesak pemimpin PH yang lain turut berbuat demikian.

Sementara itu, bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau pula berpendapat DAP tidak harus bersikap 'flip flop' dalam usaha memenangi hati orang Melayu beraliran 'kanan'.

"Beberapa pemimpin, ketika mereka berkuasa, mengatakan kita boleh bertahan lebih lama jika kita tidak mencetuskan 'kegelisahan Melayu'. Sebagai sejarawan, saya mengatakan ini adalah kesalahan besar. Kamu telah kehilangan identiti kamu sendiri.

“Ketika (PH) mendapat 95 peratus sokongan orang Cina dan majoriti sokongan India, kita lupa orang-orang yang telah menolong kita tetapi berasa bersyukur terhadap Mahathir.

"Kita adalah parti yang berbilang kaum, kita harus menumpukan perhatian terhadap kegelisahan golongan yang ditindas, bukan hanya kegelisahan orang Melayu," kata Hew, yang terkenal dengan julukan "Superman".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS