Malaysiakini
BERITA

Tony Pua, Hannah Yeoh kecam kenyataan 'toksik', 'cauvinis' Ronnie Liu

Martin Vengadesan

Diterbitkan

Pemimpin DAP, Tony Pua dan Hannah Yeoh tampil membidas ahli jawatankuasa pusat parti itu, Ronnie Liu yang menegaskan bahawa DAP tidak perlu "mencairkan kecinaannya" dan dibataskan hanya untuk meraih sokongan orang Melayu.

Pua yang juga ahli parlimen Damanasara menyifatkan Liu sebagai "cauvinis Cina yang tidak diperlukan parti"

"Selama beberapa dekad, DAP telah dilabel dengan penilaian tidak adil bahawa kita adalah parti cauvinis Cina.

"Ini adalah hasil langsung dari usaha parti untuk memastikan bahawa hak-hak minoriti tidak dipijak oleh kerajaan BN.

"Kaum minoriti dalam hal ini membabitkan masyarakat Cina dan India.

"Malangnya, hasil daripada perjuangan ini parti ini dilabel sebagai parti cauvinis Cina, kerana sering membangkitkan isu-isu berkaitan dengan masyarakat Cina," kata Pua dalam satu kenyataan pagi ini.

Pua mengatakan bahawa sejak tahun 2005, DAP di bawah kepemimpinan Lim Guan Eng telah melakukan usaha bersama untuk menghilangkan label dan imej itu.

"Walaupun terdapat desakan yang bertentangan oleh lawan politik DAP, parti telah membuat kemajuan besar untuk menjadi parti yang lebih inklusif yang lebih mewakili seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Pua berpandangan bahawa kenyataan Liu itu tidak peka terhadap falsafah DAP,  merujuk kenyataan Liu yang menggesa parti mereka berpegang teguh pada imej "kecinaan" dan pada masa sama menggelar parti itu sebagai parti berbilang kaum.

"Strategi pilihan raya (Liu) adalah sama mudahnya: kita harus bekerjasama dengan parti-parti Melayu yang lain, tetapi kita tidak seharusnya menggambarkan diri kita sebagai parti bukan Cina. 

"Ini kononnya kerana menurut Liu 'anda tidak akan dapatkan sokongan orang Melayu dengan pendekatan seperti itu'," katanya.

"Dalam istilah yang lebih sederhana, Liu berpendapat bahawa DAP berpegang pada formula sebagai alternatif kepada MCA. Jujurnya, itu mungkin merupakan penghinaan terbesar yang dilemparkan kepada DAP hari ini.

"Mereka (MCA) berada di bawah belas kasihan 'abang besar', Umno, Bersatu dan PAS yang memberikan sokongan politik untuk hidup kepada MCA," kata Pua.

Pua berkata Liu ingin parti itu membalikkan kemajuan yang telah dicapai selama lebih dari satu dekad untuk melindungi "kecinaan",

"Itu adalah sifat paling cauvinis yang seseorang boleh miliki dan DAP tidak memerlukan cauvinis dalam parti.

"Saya gembira dan lega bahawa Liu adalah kes terpencil dan kepemimpinan parti tidak menyokong prinsip-prinsip cauvinistik seperti itu.

"Kedudukan seperti ini tidak hanya akan membuat kita kembali puluhan tahun tetapi akan menjadi suara kematian bagi parti," tambah Pua.

Pemimpin Melayu muda dalam DAP

Dalam pada itu, Pua berkata parti itu kini mempunyai ramai pemimpin Melayu di semua peringkat, dan hampir di semua negeri.

"Kami bahkan mempunyai Ahli Parlimen dari kaum Murut pertama kami di Sabah dan Ahli Parlimen dari kaum Bidayuh di Sarawak," tambahnya.

DAP kini sedang mempersiapkan diri untuk pemilihan kongres nasional dan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) pada bulan Jun. 

Walaupun parti itu dilihat telah berusaha untuk merangkumkan kaum lain, Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji adalah satu-satunya daripada 42 ahli parlimennya yang berbangsa Melayu.

"Kami mempunyai lebih banyak pemimpin Melayu muda dan progresif yang telah bergabung dengan kami di peringkat cawangan dan akar umbi.

"Mereka bergabung dengan parti dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana mereka melihat DAP sebagai parti yang memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama," kata Pua.

Antara pemimpin muda ini termasuk Adun Tanjung Bungah dan Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari, Sheikh Umar Bagharib Ali (Adun Paloh, Johor), Young Syefura Othman (Ketari, Pahang), Jamaliah Jamaluddin (Adun Bandar Utama, Selangor), Edry Faizal (Dusun Tua, Selangor) dan Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima, Pulau Pinang).

Pua mengatakan bahawa mereka cenderung untuk bergabung dengan parti yang mempunyai pemimpin yang kuat, kompeten dan berkebolehan yang dapat berkomunikasi dan melaksanakan dasar sosio-ekonomi dan tidak hanya sekadar "memuntahkan" retorik politik yang tidak berkesudahan.

"Yang paling penting, mereka mendapati generasi baru pemimpin tertinggi DAP peka dan menyedari ketakutan dan rasa tidak selamat masyarakat Melayu.

"Transformasi parti tidak lengkap dan ada jalan panjang untuk menjadikan DAP sebagai parti pilihan untuk semua rakyat Malaysia, dan bukan hanya untuk minoriti yang tertindas," kata Pua.

Dia mendakwa bahawa kemajuan DAP telah menimbulkan ketakutan dalam banyak parti berasaskan Melayu seperti Umno dan Bersatu, yang telah menentang dengan menguatkan serangan politik dan retorik mereka terhadap DAP untuk menyekat kemaraan parti itu.

Jelas Pua sangat penting bagi pemimpin parti untuk menyebarkan prinsip-prinsip DAP kepada orang Melayu, untuk meningkatkan pemahaman tentang perjuangannya dan menghilangkan "retorik jahat" yang digunakan oleh musuh politik.

"Namun, cabaran yang dihadapi DAP bukan hanya luaran. Kami juga berdepan rintangan dalaman dari kalangan penyokong lama dan setia yang sayangnya tidak dapat melihat gambaran yang lebih besar dan lebih selesa berpolitik dalam kerangka perkauman berusia puluhan tahun yang dibina oleh BN.

"Mungkin, dapat difahami, mereka merasa terancam dan takut berubah menjadi tidak relevan secara politik," katanya.

'Ronnie Liu tidak mewakili saya'

Ahli Parlimen Segambut Yeoh pula dalam satu hantaran di Facebooknya menyatakan bahawa Liu tidak mewakili pandangannya sebagai ahli DAP.

"Ronnie Liu tidak mewakili saya. DAP yang Ronnie mahukan bukan DAP yang saya sertai.

"Saya tidak setuju dengan ucapan beliau. Apa budaya parti? Apa maksud mencairkan kecinaannya? Bukankah ini pemikiran sempit dan toksik?" kata Yeoh yang turut memetik petikan ucapan Liu yang dilaporkan.

Yeoh, yang membuat penampilan politiknya dengan DAP setelah memenangi kerusi DUN Subang Jaya pada tahun 2008, mengatakan bahawa dia mungkin mempunyai pengalaman yang sedikit daripada Liu tetapi cukup untuk membuktikan pandangan Liu salah.

Dia juga menolak serangan berterusan Liu terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, dengan mengatakan bahawa retorik seperti itu menambahkan lagi beban pada tugas yang sudah mencabar.

Sambil memuji ketetapan PH untuk mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana kumpulan, Liu semalam sekali lagi mengatakan bahawa gabungan itu tidak boleh bekerjasama dengan Mahathir dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).

"Bagi Ronnie, Dr Mahathir sentiasa salah. Bagi Ronnie, (Presiden PKR) Anwar (Ibrahim) tidak melakukan kesalahan.

"Bagi saya, saya sudah lama tidak mendengar Ronnie. Tetapi kali ini saya tidak boleh berdiam diri," katanya.

"Dia telah menjejaskan banyak pemimpin DAP di luar sana yang bekerja keras untuk melawan prasangka dan stigma terhadap DAP," tambah Yeoh lagi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.