Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid 'ajar' presiden PAS makna integriti
Diterbitkan:  Apr 14, 2021 2:54 PM
Dikemaskini: Apr 16, 2021 10:12 AM

Aspek integriti dan majoriti dalam kerajaan adalah dua perkara berbeza, kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim menyanggah minda Abdul Hadi Awang.

Kata Zaid berdasarkan apa yang difahaminya daripada tulisan duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu, Abdul Hadi berpendapat tidak ada maknanya jika parti politik seperti Umno atau Pakatan Harapan (PH) mendapat kemenangan besar kerana mereka dianggapnya tiada integriti.

Menurut Zaid, di mata Abdul Hadi pihak yang memiliki integriti ialah seseorang yang belum dituduh atau berdepan kes jenayah di mahkamah.

Justeru kata Zaid pemimpin Umno yang didakwa di mahkamah kini dianggap Abdul Hadi sebagai orang yang tiada integriti.

"Integriti itu berbeza daripada keperluan majoriti. Ia dua konsep yang berlainan," kata Zaid dalam kenyataan yang dibuat melalui media sosial hari ini.

Bekas ahli parlimen Kota Bharu itu menjelaskan kerajaan yang sah di negara kita adalah kerajaan yang disokong sebahagian besar wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya umum.

Konsep yang mudah itu, katanya, bagaimanapun masih belum teruji kerana tidak mendapat peluang di Dewan Rakyat walaupun ia merupakan tuntutan perlembagaan.

"Integriti - untuk maklumat Abdul Hadi - adalah sifat dan nilai seseorang seperti keikhlasan, keterbukaan, patuh kepada undang-undang dan tidak memutar belit fakta untuk menyesuaikan diri mereka dengan keadaan semasa," kata Zaid lagi.

Pada 12 Apr lalu Abdul Hadi berkata tidak ada gunanya sebuah kerajaan yang mendapat majoriti besar jika tidak disertai integriti.

Alasan untuk kekal berkuasa 

Menurut ahli parlimen Marang itu lagi Islam memerintah dengan bermula sebagai kuasa minoriti sebelum ia diterima majoriti bukan Islam kerana kerajaannya adil dan bertakwa.

"Apakah faedahnya jika sekadar mendapat jumlah sokongan majoriti yang besar tetapi tidak berintegriti, sekiranya pada awal lagi sudah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti.

"Berbohong itu sahaja sudah cukup untuk menjadi tanda hilangnya integriti, yang pasti mengundang semua perangai buruk yang lain, termasuk menjadi kleptokrat.

"Kehilangan integriti pemimpin diikuti dengan kelemahan kerajaan dan penamatnya dengan kemusnahan negara," katanya. 

Ia dibuat Abdul Hadi ketika hubungan di antara PAS dan Umno - yang diikat piagam Muafakat Nasional - terus menjadi tanda tanya ekoran kesungguhan PAS bersama dengan Bersatu.

Abdul Hadi juga mengesahkan PAS sudah memulakan rundingan pembahagian kerusi dengan parti serpihan Umno itu.

Zaid berkata seseorang yang berintegriti tidak menyalahgunakan kuasa.

Orang yang dihadapkan ke mahkamah pula, katanya, tidak termasuk sebagai individu yang tidak berintegriti selagi proses dan keputusan muktamad belum ditetapkan.

"Contoh terbaik kumpulan orang yang tidak berintegriti termasuklah mereka yang menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk kekal berkuasa melalui darurat.

"Contoh lain ialah (pihak yang) menggunakan kuasa kerajaan untuk memujuk wakil rakyat melompat parti, menggunakan wang kerajaan tanpa perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat, bercakap mengenai reformasi dan kerajaan cara Islam tetapi tidak sanggup membuat perubahan struktur dan menyeluruh dalam sistem pentadbiran negara secocok dengan kehendak negara demokrasi tulen," katanya.

Pada masa sama kata Zaid PRU perlu diadakan segera agar rakyat dapat menentukan pihak mana yang wajar diberikan kuasa majoriti, selain mengelak seseorang berkata-kata mengenai hal yang tidak difahaminya, atau sengaja enggan difahami.

Lihat Komen
ADS