Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Apa guna k’jaan majoriti besar jika tiada integriti?

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyifatkan tiada gunanya kerajaan mendapat majoriti yang besar jika tidak berintegriti.

Jelasnya, Islam bermula dengan menjadi kuasa minoriti dan diterima oleh majoriti bukan Islam kerana kerajaannya adil dan pemimpinnya pula bertakwa.

"Apakah faedahnya jika sekadar mendapat jumlah sokongan majoriti yang besar tetapi tidak berintegriti, sekiranya pada awal lagi sudah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti.

"Berbohong itu sahaja sudah cukup untuk menjadi tanda hilangnya integriti, yang pasti mengundang semua perangai buruk yang lain, termasuk menjadi kleptokrat.

"Kehilangan integriti pemimpin diikuti dengan kelemahan kerajaan dan penamatnya dengan kemusnahan negara," katanya dalam tulisan Minda Presiden yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.

Tulisan Minda Presiden kali ini mengupas mengenai, "Tawaran kerajaan selamatkan rakyat: Negara berkebajikan membawa berkat".

Umum mengetahui PAS kini memperkukuhkan kerjasamanya dengan Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerajaan yang dibina.

Hubungan PAS dengan Umno juga dilihat tidak jelas selepas Umno membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, terdapat negara yang musnah kerana berlakunya kezaliman, keruntuhan moral dan salah laku.

"Terdapat negara yang dimusnahkan kerana berlakunya kezaliman, bahkan berlakunya keruntuhan moral, salah laku dan sebagainya.

"Semua perkara itu berlaku berpunca daripada tidak beriman dan budiman, sehingga ilmu dan kebijaksanaannya digunakan untuk menipu rakyat. Akhirnya rakyat menjadi mangsa kerana bersama menyokongnya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS