Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek SSAP: NGO sokong arahan henti kerja terhadap GLC S'gor

Gabungan Perlindungan Hutan Selangor menyokong arahan untuk menghentikan kerja kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi projek seluas hampir 1,000 hektar di hutan paya gambut di Changkat Menteri, Sabak Bernam.

Ketika dihubungi, wakil gabungan itu, Faizal Parish menggesa PKPS mematuhi arahan larangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ini berikutan dakwaan bahawa syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) itu gagal menyerahkan laporan Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek berkenaan. .

"Kami menyokong tindakan JAS dan kami berharap agar PKPS mematuhi perintah itu kerana kami difahamkan mereka masih membersihkan tanah," kata Faizal yang juga pengarah Pusat Alam Sekitar Global (GEC) kepada Malaysiakini.

Faizal berkata, JAS juga perlu menghantar pasukannya ke lokasi untuk memastikan pematuhan terhadap arahan menghentikan kerja-kerja berkenaan.

"Kami harap JAS akan menghantar sebuah pasukan untuk melihat situasi.

"Kami juga difahamkan menteri besar telah mengarahkan exco negeri untuk mengambil tindakan," kata Faizal merujuk kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, yang juga pengerusi PKPS dan exco alam sekitar, Hee Loy Sian.

Faizal berkata kawasan itu pada awalnya dirancang bagi projek ladang kelapa sawit sebelum diubah kepada cadangan sekarang. 

Katanya lagi, kawasan itu sangat sensitif terhadap risiko kebakaran terutama ketika musim panas.

Berikutan kerja-kerja pembersihan awal dilakukan, Faizal berkata pihak berkuasa harus mengambil langkah untuk menanam semula pokok di kawasan tersebut, menyekat saliran dan menutup jalan masuk.

Terdahulu hari ini Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata berdasar rekodnya, tiada laporan EIA diterima daripada PKPS seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Susulan siasatan JAS Selangor ke lokasi projek, notis arahan telah dikeluarkan kepada PKPS pada 8 April 2021 di bawah Seksyen 31, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan perintah larangan bagi aktiviti yang dtetapkan di bawah Seksyen 34AA, Akta yang sama pada 12 April 2021 bagi menghentikan kerja-kerja pembersihan tapak dengan serta merta dan mengemukakan laporan EIA kepada JAS," katanya.

Menurut gabungan tujuh NGO alam sekitar itu, kawasan di Sabak Bernam ditetapkan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSA) di bawah Rancangan Fizikal Negara 3 (2016-2020).

Selain itu, kawasan ini juga dilindungi di bawah Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.

Ketika dihubungi, seorang wakil PKPS berkata pihaknya sedang dalam proses merangka draf bagi memberikan respons terhadap JAS.

Lihat Komen
ADS