Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kluster Mahkamah' ini binatang politik - pemimpin Bersatu
Diterbitkan:  Apr 19, 2021 2:04 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na'aman menyifatkan “Kluster Mahkamah” sebagai binatang politik yang mempergunakan Ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.

“Kluster Mahkamah ialah sekelompok binatang politik (biasanya berumur) yang sudah terlalu lama menjadi warlord dalam arena politik negara.

“Mereka menjadikan wadah ‘Ketuanan Melayu’ sebagai tirai untuk melindungi ketamakkan serta kepentingan peribadi dan kelompok kecil lingkungan mereka sahaja, hampir seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini,” katanya dalam satu tulisan, hari ini.

Faiz tidak menamakan secara khusus pihak itu, bagaimanapun istilah "Kluster Mahkamah" biasanya diguna untuk merujuk kepada pemimpin Umno yang berdepan perbicaraan kes mahkamah selepas kejatuhan BN dalam pilihan raya umum lalu.

Kumpulan yang lantang mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini juga sering dituduh cenderung membentuk kerjasama politik dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Faiz berkata walaupun ada individu sudah dijatuhi hukuman bersalah kerana rasuah, kelompok Kluster Mahkamah masih tebal muka berbicara soal agama dan bangsa.

Katanya, mungkin kerana mereka yakin rakyat Malaysia khususnya orang Melayu boleh ditipu berulang kali dengan nada simpati dan provokasi isu-isu sensitif.

“Mereka propagandakan kononnya Melayu tiada pilihan lain untum selamat kecuali tiada pilihan lain untuk selamat kecuali berada di bawah cengkaman mereka kembali seperti sebelum PRU14.

“Benar kerajaan PN pernah atau sedang didukung oleh Kluster Mahkamah ini bagi mengelak mudarat lebih besar jika negara terus dipengaruhi puak ultra liberal di pihak PH.

“Namun kemunafikan Kluster Mahkamah ini akhirnya terserlah, kerana bukan sahaja rakyat Malaysia dibohongi mereka, malah ahli akar umbi fanatik mereka pun dikhianati apabila Kluster Mahkamah mendukung watak 'PM tepi',”katanya.

Terdahulu Faiz mengulas usaha kerajaan membendung penularan Covid-19 yang mana Malaysia katanya, seperti negara-negara lain di dunia masih bergelut dengan wabak yang melahirkan pelbagai varian virus tersebut akibat mutasi yang pantas.

Kata Faiz, keadaan ini sedikit sebanyak mampu mencabar keberkesanan vaksin untuk wabak tersebut dalam jangka panjang.

“Penghasilan vaksin pula bukan sesuatu yang mudah. Harga vaksin Covid-19 pun tidak murah. Tidak banyak negara yang mampu menghasilkan vaksin tersebut walaupun ia sebuah negara maju seperti Singapura dan Jepun, apatah lagi Malaysia dalam waktu yang singkat.

“Namun hendak atau tidak, vaksin adapah antara usaha manusia untuk melawan virus dan mengurangkan risiko kematian akibat.

“Kadang-kadang mereka yang kuat mengkritin Covid-19 dan vaksin tiada asas pengajian subjek bilogj pun, tapi bila berbicara seolah-olah dia serba tahu hingga mengaitkan dengan pelbagai teori konspirasi. Apabila kita cuba menerangkan dari sudut fakta sains, kelompok serba tahu ini memesongkan ke arah politik," katanya.

Lihat Komen
ADS