Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pejabat Tanah jamin Convent Bukit Nanas akan dipulihara
Diterbitkan:  Apr 21, 2021 2:33 AM
Dikemaskini: Apr 22, 2021 11:10 AM

Sekolah Convent Bukit Nanas tidak akan dirobohkan apabila tempoh pajakannya tamat, kata Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Pengarah jabatan itu Muhammad Yasir Yahya menjelaskan cadangan kerajaan untuk tidak memperbaharui pajakan tersebut ialah bagi membantu memulihara serta membiayai sekolah berkenaan setelah pajakan berakhir.

"Buat masa ini, Sekolah Convent Bukit Nanas hanya mendapat sebahagian bantuan dan ia sekolah yang sangat tua.

"Sekolah itu akan mendapat banyak manfaat jika dijadikan institusi yang mendapat bantuan penuh oleh kerajaan," kata Yasir seperti dilaporkan The Star semalam.

Antara lain katanya Yasir kerajaan akan menanggung kos untuk kerja-kerja pemulihan sekiranya berlaku tanah runtuh atau hakisan di lereng berhampiran sekolah tersebut.

Sekolah itu - yang berusia lebih 120 tahun - akan tamat tempoh pajakannya pada Sept ini. Terdahulu permohonan untuk memperbaharui pajakan oleh pihak sekolah terbabit ditolak pejabat tanah pada Dis tahun lalu.

Yasir juga memberi jaminan tapak sekolah itu tidak akan dibangunkan semula setelah pajakan tamat.

"Namun, jika lembaga pengarah sekolah (Lady Superior of the Society of Saint Maur) ingin terus mengendalikan sekolah berkenaan, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

"Sekiranya mereka memilih untuk melakukannya, sekolah itu mungkin tidak dapat menikmati faedah penuh dengan menjadi sekolah kerajaan yang menerima bantuan sepenuhnya," katanya.

Convent Bukit Nanas ditubuhkan pada 1899 dan berpindah ke tapaknya sekarang pada 1909.

Alumni terkenal sekolah itu termasuk bekas menteri kanan dan Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz, Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus, penulis Adibah Noor dan peguam Ambiga Sreenevasan.

Walaupun mendapat jaminan pejabat tanah, petisyen dalam talian dilancarkan untuk mendapatkan sokongan bagi mengekalkan sekolah berkenaan.

Sehingga jam 7.30 pagi tadi, kira-kira 31,500 individu menandatangani petisyen tersebut. Petisyen yang dilancarkan pada 19 April lalu menyasarkan 35,000 penandatangan.

Badan Warisan Malaysia menyifatkan kehilangan sekolah berkenaan akan menjadi kerugian besar bagi negara ini, dan kerajaan perlu mewartakannya sebagai bangunan warisan.

"Convent Bukit Nanas - seperti sekolah dan kolej tinggi di dunia - memiliki warisan tradisi pendidikan dan bangunan seni bina yang baik.

"Negara akan kerugian besar bagi jika warisan ini musnah apabila sudut Kuala Lumpur di Bukit Nanas dibangunkan lagi.

"Convent Bukit Nanas dilaporkan menulis surat kepada pejabat tanah dan galian pada 4 Okt 2017 untuk meminta pajakan sewa dipanjangkan tetapi dimaklumkan pada 18 Dis tahun lalu ia tidak akan diperbaharui," kata NGO itu dalam satu kenyataan malam semalam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS