Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apakah pelajar SPM2021 akan ketinggalan sekali lagi, soal aktivis Muda
Diterbitkan:  Apr 21, 2021 11:14 PM
Dikemaskini: 3:14 PM

Seorang aktivis pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dua bulan lalu, mempersoalkan apakah rancangan Kementerian Pendidikan terhadap pelajar Tingkatan 5 tahun ini berikutan wabak yang melanda negara.

Nurul Rifayah Muhammad Iqbal, 18, mempersoalkan apakah pelajar SPM tahun ini akan keciciran sekali lagi.

"Saya ingin bertanya kepada Kementerian Pendidikan apakah mereka mempertimbangkan bahawa pada tahun 2021, akan ada banyak lagi calon yang menunggu untuk menduduki SPM.

"Sebilangan daripada mereka cemas untuk ke sekolah semasa berlakunya wabak ini, tetapi mereka masih bersedia menghadapi SPM.

"Namun, bila satu hari mereka ke sekolah, satu hari lagi tersekat di rumah. Sekali lagi, ke mana tujuan kita?" katanya dalam catatan di Instagram.

Nurul Rifayah mengulas mengenai penutupan 19 buah sekolah di Petaling, Selangor setelah 27 kes Covid-19 dikesan.

Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan yang berkuat kuasa hari ini (21 April) bahawa mana-mana sekolah dengan kes Covid-19 akan ditutup selama dua hari dan akan melaksanakan pembelajaran di rumah.

Nurul Rifayah - yang juga ahli jawatankuasa eksekutif Ikatan Demokratik  Malaysia (Muda) - berkata pelaksanaan kaedah pembelajaran di rumah tahun lalu mewujudkan jurang pendidikan antara pelajar.

 "Kita perlu ingat bahawa calon SPM 2021 telah menghabiskan keseluruhan Tingkatan 4 mereka di rumah.

"Pelajar yang bernasib baik boleh ikuti kelas dalam talian, manakala pelajar yang tersekat di rumah tanpa sambungan internet atau peranti untuk menghadiri kelas dalam talian ketinggalan dengan tidak banyak kemajuan dalam pendidikan mereka," katanya.

Sementara itu, Nurul Rafiyah juga bertanya bilakah keputusan SPM 2020 akan diumumkan. 

Untuk rekod pelajar tingkatan 5 tahun lalu terpaksa mengambil peperiksaan SPM pada Februari tahun ini akibat wabak Covid-19.

Walaupun kerajaan memaklumkan keputusan SPM akan diumumkan lebih awal, Nurul Rafiyah - yang juga sedang menunggu keputusan berkenaan - mengatakan belum ada perkembangan mengenainya.

"Bilakah mereka (pelajar SPM 2020) boleh melanjutkan pengajian mereka? Anda habiskan masa mereka dengan ketidakpastian," keluhnya.

Lihat Komen
ADS