Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenapa guna dana amanah beli vaksin, apa jadi peruntukan RM3b?
Diterbitkan:  Apr 22, 2021 12:37 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoalkan mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memanfaatkan Tabung Amanah Nasional sedangkan RM3 bilion diperuntukkan untuk pemerolehan vaksin Covid-19 di bawah Belanjawan 2021.

Charles berkata, bahawa kerajaan perlu menjelaskan apakah ini adalah suntikan dana tambahan.

"Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus bersikap terbuka, bertanggung jawab dan telus dalam cara kerajaan membelanjakan dana tersebut untuk kepentingan umum.

"Biar rakyat melihat butiran perbelanjaan itu," katanya.

Semalam, kerajaan menggunakan kuasa darurat untuk memanfaatkan Tabung Amanah Nasional dengan tujuan untuk pembelian vaksin.

Ini dilakukan dengan meminda Akta Tabung Amanah Negara (KWAN) 1988. Secara konvensyen, kelulusan Dewan Rakyat diperlukan tetapi badan itu kini digantung dan Putrajaya mempunyai kuasa membuat sebarang keputusan.

Dana Amanah Negara dikumpulkan selama beberapa dekad lalu, dengan sebahagian besarnya adalah sumbangan syarikat minyak nasional Petronas.

"Dana ini adalah khusus dikhaskan untuk masa depan, mengapa harus gunakannya sekarang.

"Apakah kerajaan menghadapi kekurangan dana sehingga harus menggunakan dana yang dikhaskan untuk masa depan?" soalnya.

Menurut Laporan Tabung Amanah Nasional 2018, yang dibentangkan di Parlimen pada tahun 2020, dana ini mempunyai jumlah keseluruhan RM17.4 bilion.

Charles mempersoalkan sejauh mana Putrajaya berhasrat menggunakan kuasa daruratnya untuk membelanjakan wang tersebut.

Anggota parlimen DAP itu berkata, bahawa kerajaan seharusnya mengadakan sidang Parlimen dan memohon bekalan atau wang tambahan.

Bulan lalu, Putrajaya juga melaksankan kuasa darurat untuk mendapatkan dana tambahan dan memanfaatkan dana yang disatukan tanpa persetujuan Parlimen.

Lihat Komen
ADS