Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Periksa haid: Buli dengan kesan psikologi berpanjangan, kata pakar
Diterbitkan:  Apr 24, 2021 9:27 AM
Dikemaskini: 1:27 AM

Pemeriksaan mengejut bagi mengetahui sama ada seseorang pelajar perempuan didatangi haid atau sebaliknya akan memberi kesan negatif selama bertahun-tahun, kata pakar psikologi.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Dr Andrew Mohanraj menggesa Kementerian Pendidikan menghentikan amalan itu.

"Pemeriksaan mengejut secara berkala terhadap pelajar perempuan di sekolah seperti yang diketengahkan baru-baru ini adalah memalukan dan boleh dianggap sebagai satu bentuk buli.

"Seperti semua bentuk buli yang lain, kesan psikologi boleh menyebabkan kegelisahan, kemurungan dan rasa rendah diri, yang mengakibatkan prestasi yang buruk di sekolah atau tidak berminat sepenuhnya untuk bersekolah sama sekali.

"Perasaan malu yang berulang di sekolah juga boleh memberi kesan psikologi jangka panjang bertahun-tahun kemudiannya kepada orang dewasa," katanya yang meminta pihak berwajib meneliti perkara itu dan menyediakan garis panduan kepada pihak sekolah.

Andrew mengulas laporan Malaysiakini baru-baru ini bahawa pelajar perempuan di beberapa buah sekolah di Malaysia perlu menjalani "pemeriksaan haid" di mana mereka diminta membuktikan secara fizikal yang mereka mengalami haid melalui cara-cara yang melanggar privasi.

Sekumpulan individu bercakap kepada Malaysiakini menceritakan pengalaman ketika mereka di sekolah berasrama yang dianggap "memalukan", namun diterima sebagai 'perkara yang normal'.

Perbuatan yang dilakukan para guru, warden asrama dan pengawas itu antara lain meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, tisu atau jari mereka untuk membuktikan mereka tidak boleh bersolat jemaah kerana didatangi haid.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor mengkritik perbuatan itu dengan mengatakan sesiapa pun tidak wajar memalukan gadis atau wanita dengan memeriksa alat sulit mereka.

Ahli psikologi klinikal Evone Phoo pula berkata, walaupun tidak semua individu mengalami tahap trauma yang sama, hal itu tidak mengubah hakikat bahawa para wanita ini, ketika remajanya diperlakukan dengan perkara mengaibkan.

"Bagi sesetengah orang, pengalaman ini berlanjutan dan terus mempengaruhi mereka selama bertahun-tahun yang akan datang.

"Oleh itu, bukan sahaja penting untuk melihat apa yang berlaku kepada mereka, tetapi yang lebih penting lagi, untuk tidak menolak pengalaman mereka mengenai kejadian itu," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, amalan seperti itu mungkin berpunca daripada isu kepercayaan terhadap para pelajar.

"Berdepan dengan bermacam-macam jenis pelajar selama bertahun-tahun, sesetengah guru mungkin membentuk persepsi tertentu dan merasakan perlunya bertindak tegas dalam menguruskannya.

"Ini mungkin bermaksud menggunakan pencegahan atau hukuman untuk membentuk tingkah laku pelajar. Sayangnya, beberapa kaedah ini mungkin menyebabkan pengalaman trauma.

"Mungkin juga bimbang tidak mengikut arahan dan ditipu, oleh kerana itu sesetengahnya merasa perlu melakukan kawalan melalui pemeriksaan mengejut yang mengganggu ini," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS