Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kamal Hisham nak saman dua pegawai kanan polis Johor

Seorang peguam memberitahu dia akan memfailkan saman sivil terhadap dua pegawai kanan polis di Johor berikutan dakwaan yang dianggap memfitnah terhadap dirinya.

Menurut Kamal Hisham Ja’afar dalam sidang media pada 22 April lalu pegawai polis terbabit dilihat seolah-olah menuding jari kepada dirinya apabila menjelaskan mengenai peguam yang menyamar sebagai peguam istana Johor dan cuba memperdaya sebuah syarikat pengiklanan di Petaling Jaya dalam urusan komersial.

Malah, kata Kamal Hisham dia juga dikatakan telah disabitkan bersalah dalam satu jenayah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

“Dengan ini, saya ingin membuat beberapa kenyataan dengan sepenuh jujur dan suci hati bahawa saya menyangkal serta menafikan kenyataan-kenyataan pegawai kanan polis di selatan tanah air tersebut dengan penjelasan dan justifikasi daripada pihak saya bahawa saya tidak pernah menyamar atau memperdayakan mana-mana pihak sebagai peguam diraja Johor.

“Status saya sebagai peguam dapat disahkan melalui banyak dokumen dan surat termasuk salah satu contohnya adalah satu surat daripada setiausaha kerajaan negeri Johor bertarikh 23 Mac 2011 yang mengesahkan bahawa saya sememangnya pada semua masa yang material iaitu sebelum dari tarikh 23 Mac 2011 adalah merupakan peguam yang mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan.

“Saya juga menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah disabitkan dengan pertuduhan jenayah di mana-mana mahkamah di Malaysia mahupun luar Malaysia,” katanya dalam satu sidang media khas di siaran langsung Facebook hari ini.

Asalnya Kamal Hisham tidak mendedahkan indentiti dua pegawai kanan polis kanan namun apabila dihubungi Malaysiakini kemudian, dia mengesahkan seorang daripada individu yang dimaksudkan ialah Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay.

Katanya laporan polis telah pun dibuat hari ini manakala saman sivil pula akan dibuat dalam masa beberapa hari lagi.

Sudah berbincang dengan peguam

Mengulas lanjut Kamal Hisham berkata sebelum ini dia didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru berkaitan pertuduhan komersial membabitkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kes itu katanya diselesaikan pada 2018 tanpa sebarang sabitan jenayah.

Dia juga menganggap tindakan pegawai kanan polis terbabit membangkitkan semula isu tersebut adalah berniat jahat kerana kes berkenaan langsung tidak mempunyai unsur salah laku jenayah dan tiada wang yang hilang atau disalahgunakannya.

“Kes ini pernah disiasat pada tahun 2011 dan telah dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut dan juga satu pengampunan diraja telah diberikan oleh baginda sultan pada 12 Jun 2018.

“Saya telah berbincang dengan barisan peguam dan jelas mendapati bahawa telah wujud fitnah yang jelas dan salah guna kuasa oleh dua orang pegawai kanan polis yang berpangkat pesuruhjaya dan superitendan polis.

Untuk rekod, pada 2018 Kamal Hisham berdepan dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM533,000; sembilan pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram melibatkan nilai hampir RM150,000 dan enam pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

Pada 13 Jun 2018 sempena Ramadan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima permohonan maaf daripada Kamal Hisham dan mengampunkannya bagi kesemua kesalahan tanpa apa-apa syarat.

ADS