Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mana Rina?' - MP persoal menteri tak pertahan hak wanita wariskan kerakyatan
Diterbitkan:  Apr 28, 2021 4:55 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Dua pemimpin pembangkang Hannah Yeoh dan Azis Jamman mempersoalkan mengapa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun tidak tampil mempertahankan sekumpulan wanita berhubung isu kewarganegaraan anak mereka.

Dalam satu kenyataan bersama, Hannah yang merupakan bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dan Azis, timbalan menteri dalam negeri berkata kerajaan yang prihatin sewajarnya mengangkat isu diskriminasi terhadap wanita dan menyokong mana-mana badan bukan kerajaan seperti Family Frontiers yang membangkitkan isu itu.

“Kami menjangkakan sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, Menteri Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat akan segera tampil mempertahankan tuntutan para ibu ini selari dengan perjuangan kementerian di bawah kendaliannya.

“Namun sehingga kini, kami masih tertanya-tanya di manakah suaranya selepas tuntutan isu ketidaksamaan pemberian taraf kewarganegaran Malaysia dibangkitkan?” soal mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Berdasarkan undang-undang, anak kepada lelaki Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara secara automatik menjadi warga Malaysia, tetapi tidak untuk anak kepada wanita Malaysia dengan lelaki warga asing.

Pada Disember lalu, sekumpulan wanita memfailkan saman bagi meminta pengisytiharan untuk wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing juga secara automatik dapat memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

Ia selepas kerajaan menolak untuk mengizinkan golongan wanita dengan pasangan warga asing mewariskan kewarganegaraan kepada anak mereka.

Saman itu, yang menamakan kerajaan persekutuan sebagai defendan, diajukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh presiden Family Frontiers, Suri Kempe bersama enam ibu Malaysia.

Hannah dan Aziz - yang juga ahli Parlimen Segambut dan Sepanggar - membangkitkan kepantasan menteri sebelumnya iaitu Wan Azizah Wan Ismail dalam mengendalikan isu seperti itu, antaranya menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri.

Isu kewarganegaraan tersebut terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Mereka berkata perjuangan hak kewarganegaraan untuk kanak-kanak adalah penting dan perlu, tugas asas sebuah kerajaan yang prihatin.

Ia bukanlah satu usaha yang "remeh dan menyusahkan" seperti didakwa, kata mereka lagi.

“Menggelarkan diri sebagai sebuah kerajaan prihatin tidak memadai tanpa disusuli dengan tindakan dan polisi yang mencerminkan nama tersebut.

“Jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak bersedia untuk terjun dalam perjuangan ini, beri laluan kepada mereka yang layak dan bersedia menyingsing lengan untuk melakukannya,” kata mereka.

Semalam, kerajaan memohon pembatalan saman pemula oleh enam wanita tersebut dengan asas ia sebagai sesautu yang "menyusahkan dan remeh".

Lihat Komen
ADS