Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gabungkan DAP, PKR, Amanah jadi satu parti progresif - Ronnie Liu
Diterbitkan:  Apr 29, 2021 9:16 AM
Dikemaskini: 1:20 AM

Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu mencadangkan DAP bergabung dengan PKR dan Amanah, sekali gus mewujudkan sebuah parti berbilang kaum terbesar dan mempunyai lebih ramai wakil rakyat.

"Ketiga-tiganya perlu dibubarkan dan bergabung menjadi sebuah parti pluralistik dengan pandangan progresif.

"Saya sangat berharap suatu hari nanti Pakatan Harapan akan menjadi sebuah parti tunggal yang besar dan bukannya gabungan," kata Liu kepada Malaysiakini.

Liu berkata dia percaya kepada visi parti berbilang kaum dan DAP - yang selama ini dikritik sebagai parti cauvinis Cina - perlu berubah daripada kedudukannya sekarang.

"DAP perlu 'overhaul' atau ia akan mati perlahan-perlahan," tambahnya.

Liu berkata niatnya itu pernah diputarbelitkan apabila dia dikatakan mahu menghancurkan DAP dan tunduk kepada PKR.

DAP memiliki 42 anggota parlimen manakala PKR (35) dan Amanah (11).

Sekiranya parti-parti ini bergabung, ia akan mewujudkan mewujudkan sebuah entiti yang memiliki 88 ahli parlimen dan menjadikannya selesa sebagai parti terbesar di parlimen sekarang.

Namun, memandangkan PKR sendiri berpuak-puak dan dengan ketegangan yang memuncak menjelang pemilihan DAP pada Jun depan, usaha penggabungan seumpama itu diragui boleh berjaya.

"Sebab untuk membubarkan menjadi satu parti adalah kerana setiap parti boleh membuang beban sebelumnya dan berada di bawah jenama baru. DAP telah dituduh sebagai anti-Islam, PKR sebagai kenderaan Anwar (Ibrahim) sahaja dan ada yang mengatakan Amanah sebagai ikan bilis.

"Tapi jika kita boleh bergabung dengan ikhlas, gabungan parti ini boleh menjadi kuasa yang kuat," tambah Liu.

Liu dan pemimpin kanan DAP sebelum ini terlibat dalam perang mulut dengan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang semalam mengulangi wujud dakwaan wujud ancaman luar terhadap parti itu di tengah bahang pemilihan yang sedang berlangsung.

"Parti ini sedang menghadapi pemilihan di peringkat negeri dan kebangsaan, dan kami mengalu-alukan sebarang perdebatan sihat berkenaan masa depan DAP dan negara.

"Namun, kita harus sedar dengan ancaman luar yang mahu memecah-belahkan dan memusnahkan DAP," kata Lim dalam satu kenyataan.

Liu bagaimanapun menyangkal 'ancaman luar' berkenaan dan sebaliknya meluahkan rasa kecewa terhadap kebangkitan "elit" DAP sejak pilihan raya umum 2018, yang mengambil jawatan penting kerajaan persekutuan dengan mengorbankan pemimpin akar umbi yang lama.

Dia juga mengatakan mereka yang menjadi popular setelah kejayaan DAP tidak mengalami kesusahan di peringkat akar umbi, sebaliknya menikmati hasil kerja mereka.

Dia mendakwa parti itu kini berada di bawah sistem feudal, dengan golongan elit memperlakukan anggota biasa seperti 'umpan peluru'.

Liu sebelum ini mengkritik kepemimpinan DAP ketika ini dalam memandu arah parti itu, dengan mengatakan bahawa mereka tidak perlu mencairkan 'kecinaan' untuk menarik penyokong Melayu.

Berikutan pendiriannya itu, Liu dikritik hebat oleh pemimpin parti seperti Tony Pua dan Hannah Yeoh.

Lihat Komen
ADS