Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kelantan tidak bercadang untuk membeli vaksin Covid-19 secara sendiri kerana ia membabitkan kos yang besar, menurut menteri besarnya Ahmad Yakob.

“Sekarang kita masih mengambil pendekatan seperti negeri lain kerana ia membabitkan kos besar, kecuali Sarawak yang beli sendiri.

“Kita tunggu dan kita akan ikut pendaftaran seperti biasa,” katanya ketika ditanya media selepas majlis tinjauan di pusat kuarantin dan rawatan Covid- 19 (PKRC) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin.

Selain Sarawak, Selangor juga menyuarakan hasrat untuk membeli bekalan vaksin Covid-19 untuk keperluan penduduk negeri itu.

Pada 21 April lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata kerajaan negeri boleh membeli sendiri vaksin dengan syarat ia mesti vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad berkata bahawa PKRC di SMK Salor tersebut adalah PKRC keenam diwujudkan di Kelantan dan menempatkan pelajar sekolah.

"Kita juga sudah bersedia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian esok dan mungkin akan ada lagi (PKRC) kita tak tahulah...Saya sangat berterima kasih dengan pihak yang bertugas," katanya.

PKRC di kampus kesihatan USM Kubang Kerian merupakan PKRC terbaru dan terbesar di negeri itu dan akan mula menempatkan pesakit esok.

Sementara itu, Ahmad juga menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak penularan wabak Covid-19 di negeri itu dan meminta orang ramai untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Keadaan pesakit dan mereka yang positif ini masih lagi tidak menunjukkan trend menurun, maka pertambahan setiap hari mungkin tiga angka.

“(Saya) mengharapkan masyarakat benar-benar dapat mematuhi SOP sebab gejala ini dalam komuniti sekarang. Patuhilah SOP sebab ini adalah kaedah yang telah diperakui seluruh dunia untuk membendung hal ini, itu sahaja,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS