mk-logo
Berita
G25: K'jaan digesa pinda perlembagaan, sekat ahli politik campur tangan polis
Diterbitkan:  May 3, 2021 9:05 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Putrajaya perlu meminda Perlembagaan Persekutuan supaya menteri dalam negeri tidak lagi menerajui Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk mengelakkan ahli politik campur tangan dalam urusan polis, kata kumpulan G25.

"Kami menggesa kerajaan untuk memulakan pindaan terhadap Klausa (3) (a) Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan (peruntukan mengenai Suruhanjaya Pasukan Polis) untuk menghapus peruntukan yang menetapkan menteri dalam negeri sebagai pengerusi suruhanjaya itu.

"Pengerusi perlu dilantik daripada kalangan pihak yang bebas seperti pesara hakim yang tahu tentang undang-undang dan pihak yang dimuliakan dan dihormati oleh orang ramai atas sebab keilmuan, kejujuran dan integritinya.

"Ahli politik atau orang yang berkaitan dengan politik tidak harus dilantik ke jawatan itu untuk mengelakkan menjejaskan integriti dan kebebasan suruhanjaya tersebut," kata kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan itu.

Ini selepas ketua polis negara yang baru bersara, Abdul Hamid Bador secara terang-terangan mengkritik Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin kerana dituduh mencampuri pasukan polis.

Hamid menambah SPP bawah kepemimpinan Hamzah masih mempunyai banyak siasatan yang belum selesai terhadap pegawai polis yang telah digantung tugas atas dakwaan salah laku.

Abdul Hamid berkata suruhanjaya itu perlu dipimpin oleh pihak yang tidak berpihak seperti bekas ketua hakim.

Abdul Hamid telah membangkitkan isu serius, kata G25, perkara yang akan menimbulkan persepsi negatif mengenai pilih kasih politik dalam pelantikan jawatan tertinggi.

Selain itu juga, kata G25 terdapat tanggapan mengenai kewujudan kartel dalam pasukan polis yang didalangi oleh pegawai polis muda untuk menjejaskan kuasa IGP dan menguasai pasukan polis.

"Cukup merisaukan apabila mendengar daripada ketua polis sendiri bahawa unsur luaran dapat menggunakan hubungan mereka dengan menteri untuk mempengaruhi keputusan polis," kata kumpulan itu.

Dakwaan kaitan rangkaian penjenayah

G25 turut menyuarakan kebimbangan jika kroni politik dan orang hubungan mereka dalam pasukan polis ini pula didakwa berkait dengan rangkaian penjenayah.

Menurut G25, mengambil maklum kenyataan Abdul Hamid itu dan kes kematian dalam tahanan A Ganapathy, kumpulan itu mengulangi gesaan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Kumpulan itu menyatakan rasa kecewa dengan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Mohd Sidek Hassan kerana berkata secara terbuka bahawa tiada keperluan menubuhkan IPCMC.

"Dia berkata polis harus dibiarkan sendiri untuk menyemai budaya integriti dan kejujuran di kalangan anggotanya. Dia percaya ini sudah mencukupi dan tidak ada keperluan untuk badan bebas seperti IPCMC kerana salah laku polis adalah urusan dalaman polis."

"Kami berharap kerajaan kami membatalkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC)," kata G25.

Untuk rekod, pada Mac lalu, ibu kepada Ganapathy membuat laporan polis berkenaan dakwaan anaknya dipukul dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong.

Laporan itu dibuat selepas beberapa hari Ganapthy dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang.

Mendiang meninggal dunia pada 18 April lalu.

Katanya, anaknya dalam keadaan sihat ketika ditahan walaupun mempunyai sejarah penyakit diabetes dan masalah jantung.

Pun begitu, kata ibu Ganapathy lagi, ketika di hospital, anaknya memberitahu dia dipukul oleh polis dengan paip getah.

Lihat Komen
ADS