mk-logo
Berita
Harry Tan minta maaf, kenyataan 'tak sensitif' isu gangguan seksual di sekolah
Diterbitkan:  May 7, 2021 5:00 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock, meminta maaf atas kenyataan "tidak sensitif" mengenai isu salah laku dan gangguan seksual di sekolah.

Ini selepas wawancaranya pada Rabu lalu mencetuskan kemarahan di media sosial, dengan bekas pelajar menuduh Tan melakukan tingkah laku tidak wajar dan bersikap seksis semasa di sekolah.

Pada wawancara bersama Astro Awani, Tan bersikap defensif ketika ditanya apakah NUTP akan menyiasat sekiranya benar gangguan dan penderaan seksual merupakan satu masalah di sekolah.

"Bagaimana ia menjadi masalah yang meluas? Mana statistiknya? Di mana data? Siapa yang mereka perkatakan? Berapa banyak sekolah yang terbabit?

"Kita memiliki 450,000 guru di negara ini, kita ada 10,000 sekolah. Berapa banyak sekolah yang mereka perkatakan? Beri saya fakta," katanya.

Dia kemudian menyoal berapa banyak laporan yang telah dibuat mengenai kes tersebut, selain laporan yang dibuat oleh Ain Husniza Saiful Nizam, 17 tahun - yang mendedahkan seorang guru kerana didakwa membuat jenaka rogol di kelas.

Dituduh 'bukan guru yang baik'

Kenyataan Tan mencetuskan maklum balas di media sosial, dengan ramai orang mengatakan dia tidak sensitif dan menolak aduan.

Pada satu kenyataan hari ini, dia mengakui maklum balasnya terhadap isu itu tidak sensitif.

"Mohon terima permintaan maaf saya," katanya menjelaskan dirinya dan NUTP tidak akan menyokong mana-mana guru yang melakukan "gangguan seksual, pemerkosaan dan penderaan di sekolah."

"Maksud kenyataan saya adalah bahawa sebahagian besar 450,000 guru di negara ini merupakan pendidik yang berdedikasi, bekerja keras dan penyayang.

"Malangnya, perkara itu tidak diterima dengan jelas," katanya.

Sementara itu, Presiden NUTP Aminuddin Awang mengulangi penjelasan Harry bahawa kesatuan itu tidak menyokong gangguan seksual di sekolah.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata tidak adil untuk menyalahkan semua guru atas gangguan seksual.

Selain kritikannya bersikat defensif, beberapa individu yang mengaku bekas pelajar Tan pula menuduhnya sebagai seorang guru 'yang tidak baik.'

Pengguna Twitter, Jaschintaz - yang mendakwa Tan bekas gurunya dalam subjek Bahasa Inggeris STPM pada tahun 1998 - menuduh guru itu sebagai seksis.

"Semasa pelajaran, kami diminta untuk menyampaikan cita-cita pekerjaan kami. Saya mengatakan saya ingin belajar undang-undang - maklum, bukan menjadi peguam, hanya belajar undang-undang.

"Dia mengucapkan kenyataan seksis yang membuat saya marah sehingga ke hari ini: 'Orang perempuan tidak boleh menjadi peguam'," kicaunya di Twitter.

Pun begitu, kata Jaschintaz kepada Malaysiakini dakwaan kata-kata Tan itu mendorongnya untuk belajar undang-undang dan setakat ini telah berkhidmat dalam industri perundangan selama 16 tahun.

Dia juga melancarkan petisyen yang menggesa Tan mengundurkan diri sebagai setiausaha agung NUTP.

Bekas pelajar lain pula menuduh Tan pernah menonton video lucah ketika menjadi guru pengganti, manakala yang lain mendakwa dia menyimpan video lucah dalam komputer riba yang dia pinjamkan kepada pelajar untuk projek pembelajaran di kelas.

Tan menafikan sebarang salah laku ketika ditanya mengenai tuduhan berkenaan.

 [Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS