Paling Popular
Terkini

Nota editor: Dikemas kini dengan kenyataan Resorts World Genting.

Resorts World Genting (RWG) akan menutup kasinonya buat sementara, bermula hari ini sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

Ia susulan dakwaan bahawa satu kluster Covid-19 di Kedah ada kaitan dengan rombongan pelancong yang melawat pusat peranginan itu, yang terletak di Bentong, Pahang.

Dalam kenyataan hari ini, RWG berkata selain penutupan kasino, kawasan lain di resort itu hanya akan beroperasi bermula jam lapan pagi hingga lapan malam, bermula esok hingga 7 Jun.

"Ini termasuk semua hotel, kedai makanan dan minuman, pusat beli-belah, kedai dan kemudahan kami yang lain. Beberapa tawaran kami mungkin tidak boleh didapati sepanjang tempoh ini.

"Kasino akan ditutup sementara waktu bermula hari ini sehingga makluman lanjut," katanya pada kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Seorang pekerja kasino Genting memberitahu Malaysiakini yang mereka hanya dimaklumkan tentang penutupan itu tengah hari tadi dan kasino akan ditutup bermula jam enam petang.

Pada 19 Mei, exco kesihatan Kedah Dr Mohd Hayati Othman berkata seramai 16 orang yang disahkan positif Covid-19 dikenal pasti daripada rombongan pelancong itu.

Kluster itu dinamakan "Dah Lengkuas".

Terdahulu hari ini, seorang pekerja kasino tersebut memberitahu Malaysiakini bahawa masih ada pengunjung di kemudahan tersebut, di sebalik kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob bahawa ia telah diarahkan tutup pada Jumaat lalu.

Menurut pekerja itu, bilangan pengunjung ke Genting Resort merosot 80 peratus sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei.

Bahagian kasino yang dikendalikan pekerja itu melayan 20 orang semalam dan 10 orang pagi ini.

"Saya ada bercakap dengan beberapa pelanggan (semalam). Mereka kata datang ke sini menggunakan surat yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

"Namun saya rasa mereka yang datang pagi ini adalah tetamu jangka panjang hotel kami," katanya.

Menurutnya, sukar untuk mengamalkan penjarakan fizikal di meja judi.

"Walaupun pekerja patuh pada peraturan, kontak rapat antara pelanggan tak boleh dielakkan ketika permainan.

"Saya dan rakan sekerja agak bimbang dengan risiko penularan tetapi setakat ini tiada apa yang dilakukan oleh pengurusan. Kami rasa takut," katanya lagi.

Sumber itu tidak dapat memberikan gambar di tempat perjudian kerana kawasan itu sentiasa dipantau CCTV.

Malaysiakini berulang kali menghubungi kumpulan Genting dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan komen tetapi tidak berjaya.

Kementerian Kewangan adalah pengawal atur untuk semua syarikat perjudian.

Dalam pesanan teks kepada Malaysiakini, Ismail berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada mesyuarat Jumaat lalu memutuskan kasino itu perlu ditutup.

Bagaimanapun, dia meminta Malaysiakini merujuk Kementerian Kewangan untuk pertanyaan lain.

Ismail berkata, dia telah memaklumkan kepada polis untuk melihat perkara itu setelah dimaklumkan yang kasino tersebut masih beroperasi.

Terdahulu, kerajaan membenarkan pelancong ke Genting Highlands menerusi "gelembung pelancongan" untuk memacu sektor itu. Ia telah menyebabkan berlaku penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, sumber daripada sebuah badan penguatkuasaan memberitahu Malaysiakini yang mereka tidak dapat menguatkuasakan undang-undang terhadap kasino tersebut kerana ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

"Anda patut tanya mereka. Apa yang saya boleh kata? Memang sentiasa macam ini," kata sumber itu.

Bagaimanapun, kenyataannya itu bertentangan dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang membenarkan ketua pengarah kesihatan melantik pegawainya atau badan penguatkuasaan undang-undang yang lain untuk mengarahkan penutupan premis bagi mencegah penyakit berjangkit.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS