Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wee: 'Kecuaian pandu salah arah punca kemalangan LRT'

Kecuaian pemanduan salah arah tren yang membawa gerabak kosong tanpa penumpang merupakan punca kemalangan LRT aliran Kelana Jaya malam semalam, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

"Siasatan awal mendapati kemalangan adalah disebabkan kecuaian hostler yang memandu TR40 dalam arah yang salah.

"TR40 sepatutnya bergerak ke arah south-bound telah bergerak menuju ke stesen Dang Wangi telah bergerak ke arah north-bound atau different orientation yang telah mengakibatkan pelanggaran berlaku antara TR40 dan TR81.

"Inilah dapatan awal yang dikemukakan kepada saya oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini. 

Ketika kejadian, TR40 merupakan gerabak yang tidak membawa penumpang. Manakala TR81 merupakan gerabak yang membawa 213 penumpang.

Berikut adalah kronologi kejadian semalam menurut Wee:

  • Pada jam 8.24 malam, TR81 bergerak dari stesen KLCC ke stesen Kg Baru setelah menerima maklumat bahawa TR40 telah beredar dari stesen Kg Baru menuju ke stesen Dang Wangi.
  • Pada jam 8.33 malam, pemandu tren atau dikenali sebagai ‘hostler’ telah menghubungi Pengurus Pusat Kawalan Operasi (OCC) dan memaklumkan bahawa TR40 bertembung dengan sebuah tren.
  • Pada jam 8.34 malam, TR81 telah dikenal pasti sebagai tren yang telah bertembung dengan TR40.
  • Pada jam 8.36 malam, OCC telah memaklumkan agensi tindakan kecemasan dan melantik pegawai yang bertanggungjawab di kawasan insiden.
  • Pada jam 8.50 malam, pasukan bomba, polis dan ambulans tiba di KLCC.
  • Pada jam sekitar 9.28 malam, kesemua penumpang berjaya dikeluarkan dari tren yang terhenti di antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru.

Setakat jam 7.55 pagi tadi, seramai 21 mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Enam orang berada dalam keadaan kritikal dan 15 lagi berada dalam keadaan separa kritikal.

Seramai 47 penumpang cedera parah dan dihantar ke HKL. Manakala 166 penumpang dengan kecederaan ringan menerima rawatan segera di lokasi kejadian. 

Lihat Komen
ADS