Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
6 beradik kongsi telefon pintar dapat perhatian Adun Sri Kembangan

Nasib enam beradik yang berkongsi sebuah telefon pintar bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mendapat perhatian seorang Adun DAP.

Semalam mereka menerima sumbangan sebuah komputer riba yang disampaikan oleh wakil Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Menurut pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Sazwani Yuhanis Sanadi, 18, dia bersama lima adik-beradiknya sebelum ini berkongsi telefon milik ibu mereka untuk mengikuti PdPR.

“Kami semua enam beradik termasuk saya, adik-adik darjah empat hingga tingkatan empat terpaksa menggunakan sebuah telefon untuk membuat kerja sekolah.

“Saya baru tamat SPM tahun ini, maka tinggal lima orang lagi yang bersekolah, tetapi tidak lama lagi saya juga akan menyambung pelajaran ke tingkatan enam.

“Adik beradik terpaksa bergilir-gilir untuk guna telefon dalam PdPR dan tunggu giliran untuk gunakan satu telefon itu. Kadang-kadang, proses hantar kerja sekolah terganggu, tapi mujurlah guru-guru memahami.

"Memang agak usah untuk buat kerja atas talian,” katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas menerima sumbangan berkenaan di rumahnya, di Kampung Chengal, Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, Ean Yong bersimpati dengan nasib empat pelajar di Ketereh yang dilaporkan sukar mengikuti PdPR susulan ketiadaan peranti dan berhasrat menyumbang sebuah komputer riba kepada setiap mereka.

Bagaimanapun kesemua pelajar tersebut sudah menerima bantuan peranti yang disampaikan Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan Anggota Parlimen Ketereh, Annuar Musa.

Susulan itu timbalan pengerusi DAP Selangor itu memilih pelajar lain di Kelantan bagi meneruskan hasrat menyampaikan sumbangan tersebut, termasuk kepada Nur Sazwani.

Sementara itu Nur Sazwani melahirkan rasa syukur dan amat gembira atas sumbangan yang pastinya memberi kemudahan kepada mereka.

“Dengan kemudahan komputer riba ini saya akan berkongsi dengan adik-adik khususnya bagi proses PdPR. Insya-Allah, kami akan belajar dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Kerja sekolah akan lebih mudah

Selain itu sumbangan sama turut diterima dua lagi pelajar dari Kampung Kuchelong, Bachok, dan Kampung Keladang Beta, Kota Bharu, yang menghadapi kesukaran kerana ketiadaan peranti untuk mengikuti PdPR.

Bagi Aina Adawiyah Abd Halim, 19, setakat ini, dia tidak menerima mana-mana bantuan peranti untuk PdPR, dan dengan pemberian komputer riba tersebut, kerja-kerja sekolah akan dilakukan dengan lebih mudah.

“Ibu saya bekerja sebagai penjual kuih dan pendapatan RM450 sebulan. Saya juga telah kehilangan ayah pada tahun 2019. Jadi, masalah kewangan sangat mencabar untuk membeli peranti ini.

“Dengan pemberian ini, terima kasih saya ucapkan kepada pemberi kerana pada tahun ini saya mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), jadi saya perlu gunakan untuk mengulangkaji pelajaran selain daripada membuat kerja sekolah dalam subjek Pengajian Am dan juga Sains Sukan.

“Ini akan membantu saya dalam pembelajaran untuk mengambil STPM pada tahun ini,” jelasnya.

Bagi Muhd Fitri Aiman Mohd Azman, 15, pula berkata, kekangan wang merupakan faktor utama dia tidak mampu untuk membeli komputer riba.

Katanya, kemudahan yang diterima itu akan meringankan bebannya untuk menyelesaikan tugasan sekolah dengan lebih selesa.

“Saya nak beli sendiri tak berkemampuan, ayah bekerja sebagai pencanting batik dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan dan perlu menyara kami tiga beradik selepas pemergian ibu tahun lalu.

“Memandangkan saya pelajar tingakatan tiga, komputer ini diperlukan untuk membuat kerja khusus. Alhamdulillah, terima kasih atas sumbangan ini, saya sangat bersyukur kerana diberikan kemudahan peranti yang membolehkan saya untuk membuat kerja khusus seperti subjek Geografi dengan lebih mudah,” katanya.

Lihat Komen
ADS