Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sebahagian AS$205j diseleweng dari 1MDB digunakan untuk terbit filem'

Sebahagian daripada AS$250 juta yang diselewengkan daripada 1MDB digunakan oleh Riza Aziz dan dua yang lain untuk mendanai penerbitan filem, dakwa satu tuntutan mahkamah.

Dakwaan itu dibangkitkan 1MDB dan tiga subsidiarinya dalam tuntutan mahkamah terhadap Riza Aziz, syarikat Red Granite Pictures Incorporated dan syarikat berkaitannya, Red Granite Capital Limited.

Tindakan undang-undang itu turut menamakan firma guaman di Amerika Syarikat, Shearman & Sterling sebagai defendan keempat.

Ia sebahagian daripada 22 tindakan undang-undang yang dimulakan 1MDB dan bekas subsidiarinya, SRC International Sdn Bhd terhadap sejumlah individu dan entiti yang didakwa menipu mereka.

Kedua-dua plaintif itu juga mengambil tindakan undang-undang terhadap entiti yang mungkin tidak melakukan penipuan, tetapi terlibat dalam proses itu, sama ada secara tahu atau tidak.

Writ saman itu adalah terhadap Riza Aziz - anak tiri kepada bekas perdana menteri Najib Razak - dan tiga individu lain. Plaintif adalah 1MDB dan subsidiarinya - 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited.

Riza Aziz

Pengurusan kes dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut kertas kausa, 1MDB mendakwa pada 2011 dan 2012, Riza Aziz dan dua entiti Red Granite menerima kira-kira AS$250 juta yang diselewengkan oleh pegawai dan rakan niaga mereka sendiri.

"Defendan menggunakan dana itu untuk manfaat peribadi dan manfaat sekutu mereka, termasuk untuk mendanai penerbitan filem dan membeli sejumlah hartanah," menurut 1MDB.

Syarikat itu juga mendakwa Shearn & Sterling membenarkan Riza Aziz dan Low Taek Jho (yang didakwa 1MDB sebagai terlibat secara langsung dalam penyelewengan) untuk menggunakan akaun peguamnya untuk mencuci sebahagian dana yang diselewengkan.

Tiga hari lalu, New York Times melaporkan kerajaan telah menjual kondominium mewah di kota itu yang dirampas daripada Riza Aziz dengan harga AS$16.8 juta.

Jualan itu - sebagai pertukaran untuk menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap Riza - disenaraikan sebagai antara kondominium termahal di New York dan barangkali jualan semula paling menguntungkan di dunia.

Terdahulu, portal The Edge Markets melaporkan 22 saman sivil difailkan di mahkamah Malaysia awal bulan lalu oleh tiga firma, iaitu Rosli Dahlan Saravana Partnership, Skrine & Co and Lim Chee Wee Partnership.

Saman itu menuntut kira-kira AS$23 bilion (RM94.4 bilion) daripada sejumlah defendan.

Antaranya ialah Najib, bekas pengerusi 1MDB Che Lodin Wok Kamaruddin dan bekas CEO 1MDB, iaitu Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Arul Kanda Kandasamy.

Beberapa ahli keluarga Jho Low turut dinamakan termasuk bapanya Larry Low Hock Peng dan kakaknya Low May Lin, sekutunya Eric Tan Kim Loong dan pengasas Petrosaudi International Ltd Tarek Obaid.

Entiti yang dimanakan pula antaranya Deutsche Bank (Malaysia) Ltd, Coutts & Co Ltd dan JP Morgan (Switzerland) Ltd.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, perbicaraan jenayah berhubung skandal 1MDB berjalan dengan terlalu perlahan dan saman sivil itu bagi menunjukkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serius terhadap isu itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS