mk-logo
Berita
Mageran: DAP, Pemuda Umno sama-sama rasa pelik kenyataan pegawai Muhyiddin
Diterbitkan:  Jun 10, 2021 4:16 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Tindakan seorang pegawai kanan perdana menteri memuat naik ucapan mengenai pentadbiran kerajaan melalui Majlis Gerakan Negara 1969 menimbulkan kekeliruan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pihaknya menganggap klip video berisi kenyataan Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Marzuki Mohamad, itu sebagai sesuatu yang aneh.

"Tidak ada parti Pakatan Harapan (PH) atau parti politik apa pun yang menyarankan pembentukan kerajaan jenis Mageran.

"Ini menimbulkan lebih banyak persoalan: apakah PN (Perikatan Nasional) masih mengawal pentadbiran kerajaan," katanya.

Klip video 10 minit Marzuki dimuat naik pada pukul 8 malam semalam. Dalam klip itu dia mendakwa ada pihak yang menyarankan agar Yang di-Pertuan Agong membentuk Majlis Keselamatan Negara (Mageran) baru.

Dia berpendapat langkah itu tidak perlu kerana situasai sekarang berbeza berbanding kali pertama Mageran diwujudkan kira-kira 52 tahun lalu apabila berlaku darurat keselamatan.

Lim berkata ada kemungkinan video Marzuki yang dimuat naik itu merupakan usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat yang sedang mengalami krisis kepercayaan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bekas menteri kewangan itu juga merujuk kenyataan Menteri Tugas Khas, Mohd Redzuan Md Yusof - yang diketepikan dari mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) - berhubung pengurusan wabak Covid-19 walaupun ia merupakan sebahagian portfolionya, serta pertengkaran di antara Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali.

Umno tak pernah tuntut

Kata Lim perkembangan itu menunjukkan kerajaan Muhyiddin kini tidak berfungsi seperti sepatutnya.

"Apabila menteri tidak dapat menyelaraskan keputusan mereka dalam mesyuarat kabinet, kerajaan sama sekali tidak mampu menyatukan rakyat untuk berperang dan memenangkan pertempuran melawan Covid-19.

"Rakyat Malaysia menghadapi kemungkinan masa depan dystopian (buruk) dengan ketidakadilan atau penderitaan yang besar dengan kerajaan yang tidak berfungsi," kata Lim.

Sementara itu Pemuda Umno berkata parti itu Umno tidak pernah menuntut pemerintaan Mageran diwujudkan.

Asyraf Wajdi Dusuki

Sebaliknya kata ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki parti itu mengemukakan lima tuntutan utama demi kepentingan rakyat.

Justeru katanya Pemuda Umno hairan apabila Pejabat Perdana Menteri sendiri tampil membuat perutusan terhadap cadangan menubuhkan Mageran.

Jelasnya, lima tuntutan dikemukakan Umno ialah, tidak mahu darurat dilanjutkan dan memanfaatkan kuasa darurat bagi membantu rakyat yang terkesan.

"Manfaatkan kuasa darurat di bawah Ordinan Darurat yang ada untuk mengawal harga barang dan mmbantu rakyat dengan pelbagai bantuan termasuk i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0

"Manfaatkan juga kuasa darurat untuk buat sekatan pergerakan penuh (total lockdown) secara total bukannya separa masak.

"Pemuda Umno juga menuntut parlimen dibuka untuk mempertahankan semangat dan prinsip demokrasi agar ada akauntabiliti terhadap segala keputusan kerajaan," katanya dalam kenyataan petang ini.

Tambah Asyraf Wajdi lagi, walaupun ahli parlimen Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), parti itu tidak pernah bersetuju bahkan tidak langsung dirujuk semasa proklamasi darurat dibuat.

Lihat Komen
ADS