Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantu rakyat sebelum jatuhkan hukuman, kata menteri

Kerajaan sepatutnya perlu memberi tumpuan untuk memudahkan rakyat sepanjang sekatan pergerakan penuh sebelum mengenakan sebarang tindakan terhadap mereka, kata Mohd Redzuan Md Yusof.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana itu berkata pihak berkuasa juga harus memberi arahan yang jelas ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang.

“Anda (kerajaan) tidak menghukum rakyat, (tapi) perlu memudahkannya kerana anda yang melaksanakan undang-undang," katanya ketika wawancara menerusi telefon dengan Malaysiakini, dua hari lalu.

Redzuan memberi contoh tindakan terhadap kesalahan prosedur operasi standard (SOP) yang menurutnya tidak jelas sebelum ini, seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Kalau saya seorang tak pakai pelitup muka (dan) duduk tengah padang, you nak saman ke (apabila) tak ada orang dengan saya? Ini kena jelas,” katanya.

Ahli Parlimen dari Bersatu itu membangkitkan kejadian baru-baru ini, di mana polis mengenakan denda kepada 31 pekerja kerana tidak mengemas kini status kesihatan mereka di aplikasi MySejahtera.

Untuk rekod, kes itu dianggap sebagai salah faham berhubung SOP. Majlis Keselamatan Nasional (MKN) mengarahkan denda itu dibatalkan.

"Ketika lockdown ini, kita kena ada pelan tindakan yang memudahkan rakyat, berbanding langkah mengenakan hukuman.

“Saya tak setuju dengan keadah hukuman. Baru-baru ni saya dengan rakan-rakan Kabinet bising juga, kenapa kita nak kompaun rakyat kerana tak kemas kini MySejahtera. Itu salah.

“Kita kena memudahkan sebelum ambil langkah hukuman. Kalau nak buat sesuatu tindakan, ia perlu holistik. Kita perlu jelaskan semua isu sebelum ambil langkah hukuman," katanya lagi.

Sebagai menteri tugas-tugas khas, Ahli Parlimen Alor Gajah itu bertanggungjawab memantau Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Bagaimanapun, Redzuan mendakwa dia telah diketepikan dan tidak lagi diundang ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak Covid-19 walaupun ia merupakan sebahagian dalam portfolionya.

'Dapur Rakyat'

Redzuan juga setuju dengan cadangan bahawa kerajaan harus memberi bantuan dalam menyediakan keperluan asas bagi mereka yang tidak mampu mencari rezeki ketika sekatan pergerakan penuh.

Namun, dia bertegas bahawa tindakan tersebut hanya perlu dilaksanakan secara bersasar.

"Sebagai contoh, di zon merah di mana orang tidak dibenarkan meninggalkan rumah mereka (untuk bekerja), kita boleh tugaskan APM (Angkatan Pertahanan Awam), untuk hantar barang asas seperti barang untuk memasak dan gas.

“Kalau ada orang boleh nak masak, bolehlah kita wujudkan dapur rakyat untuk mereka makan makanan panas.

“Kita boleh gerakkan APM, tak ada masalah. Kita ada tabung-tabung tertentu (yang boleh digunakan),” katanya lagi.

Terdahulu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu menyediakan keperluan rakyat ketika PKP termasuk menghantar keperluan makanan kepada rakyat.

Mahathir membangkitkan perkara itu - serta cadangan menyediakan keperluan lain - ketika mencadangkan rakyat perlu benar-benar dilarang keluar rumah selama sebulan.

APM memiliki kira-kira 10,000 anggota yang dilatih untuk melaksanakan tugas pengurusan bencana dan khidmat kemanusiaan.

Lihat Komen
ADS