Malaysiakini
BERITA

Lim: Saya bangkitkan masalah kewangan rakyat biasa pada Agong

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jun 2021, 10:22 pagi
  • Dikemas kini susulan pembetulan kenyataan media versi bahasa Melayu oleh DAP.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Yang di-Pertuan Agong bersimpati dengan keadaan kewangan rakyat ketika sekatan pergerakan terbaru kerajaan.

Lim berkata, perkara itu disampaikan ketika dia menghadap Sultan Abdullah di Istana Negara dua hari lalu.

"(Ketika itu) saya telah membangkitkan masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat biasa yang memerlukan bantuan kerajaan untuk meneruskan kehidupan.

"Yang di-Pertuan Agong bersimpati dengan moratorium automatik pinjaman bank (kecuali kumpulan T20) tanpa menyebut tempoh tertentu dan lebih banyak bantuan kewangan untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa ini, bank memberikan pilihan moratorium pinjaman selama tiga bulan atau pengurangan pembayaran balik sebanyak 50 peratus selama enam bulan kepada golongan B40, mereka yang kehilangan pekerjaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dapat beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh.

Bagaimanapun peminjam perlu membuat permohonan untuk mendapatkannya.

Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata, dalam moratorium untuk golongan B40 pada masa ini, bank hanya menangguhkan pembayaran pinjaman tanpa mengetepikan kadar faedah, menyebabkan hutang terkumpul menjadi lebih tinggi.

Terdahulu, dia menyangkal kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan tidak boleh memaksa bank melanjutkan moratorium automatik kepada golongan B40.

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) lupa bahawa kuasa darurat boleh digunakan demi kepentingan nasional buat masa ini untuk memaksa pihak bank tanpa sebarang kos kepada kerajaan," katanya.

Dia juga membangkitkan kenyataan Persatuan PKS Malaysia bahawa sekurang-kurangnya 50,000 PKS berisiko gulung tikar jika sekatan pergerakan yang berkuat kuasa pada masa ini berterusan selama empat minggu lagi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.