Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Sabah memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang dijadual hingga Isnin ini disambung hingga 28 Jun ini.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata keputusan itu dicapai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Covid-19) Sabah yang bermesyuarat pada 3 petang tadi.

"Keputusan diambil sebagai langkah membendung peningkatan jangkitan Covid-19 di negeri ini," katanya dalam kenyataan malam ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Sabri Yaakob berkata Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara memutuskan PKP 3.0 yang dijadualkan hingga Isnin ini, disambung dua minggu lagi hingga 28 Jun berikutan jumlah kes harian Covid-19 yang masih tinggi.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun menerusi kenyataan berasingan berkata Sabah merekodkan 378 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif di negeri itu sebanyak 65,708 kes manakala pesakit sembuh pula seramai 210 orang menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 62,517 orang.

"Catatan kes positif Covid-19 yang agak tinggi pada hari ini adalah disebabkan langkah memperhebat saringan bersasar secara rumah ke rumah dan tidak hanya tertumpu kepada saringan kontak rapat di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

"Oleh yang demikian, angka kes positif Covid-19 dijangka akan melonjak tinggi dalam beberapa hari sehingga gerakan saringan secara besar-besaran selesai dijalankan," katanya.

Masidi berkata tiga kluster baharu direkodkan di negeri itu hari ini iaitu Kluster Indah di Nabawan, Kluster Kampung Baru di Sipitang dan Kluster Ambar Park di Tawau.

Beliau berkata Kluster Indah yang melibatkan 21 kes positif Covid-19 dicetuskan daripada jangkitan kes indeks seorang wanita berusia 34 tahun di majlis pertunangan di daerah itu dengan dikesan positif pada 22 Mei lepas.

Kluster Kampung Baru pula melibatkan 23 kes positif Covid-19 dalam kalangan komuniti di Mukim Sindumin yang dicetuskan kes indeks seorang lelaki berusia 58 tahun dan berdasarkan siasatan awal lelaki itu mempunyai sejarah pergerakan luar daerah Keningau, katanya.

Menurut Masidi, Kluster Ambar Park pula mencatat 16 kes kumulatif yang dicetuskan daripada jangkitan komuniti oleh kes indeks seorang lelaki berusia 71 tahun di Mukim Sri Tanjung di daerah itu, yang dikesan positif pada 1 Jun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS