Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR hairan Hisham kritik pengurusan Covid-19
Diterbitkan:  Jun 14, 2021 2:08 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Kritikan Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussein atas kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani pandemik Covid menimbulkan tanda tanya parti lawan.

"Saya hairan kerana sebelum ini Hishammuddin tidak pernah mengulas isu-isu yang tidak berkait dengan portfolio beliau sebagai menteri luar, namun sejak nama beliau disebut-sebut sebagai calon perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin, baru kini kita mendengar pandangan Hishammuddin mengenai pengurusan pandemik Covid-19.

"Hal-hal yang diungkap oleh Hishammuddin sebetulnya telah lama diwacanakan oleh khalayak dan turut dibangkitkan oleh beberapa tokoh politik, pakar perubatan dan kesihatan sebelum ini," kata Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Hishammuddin.

Hishammuddin semalam menggesa kerajaan belajar daripada kesilapan lalu dalam usaha melawan wabak Covid-19.

Hishamuddin berkata, karenah birokrasi menghalang Malaysia daripada menerima bantuan negara luar, ketika rakyat negara ini kian gelisah dan letih menghadapi wabak ini.

Kata Hishammuddin dia juga bimbang kemungkinan negara hilang keseimbangan antara mengutamakan kesihatan awam atau kepentingan ekonomi.

Mengulas lanjut, Iskandar yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya mempersoalkan siapakah yang dimaksudkan Hishammuddin.

"Siapakah yang Hishammuddin maksudkan dalam kenyataan beliau? Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin atau Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah?” soalnya.

Kata Shamsul, Hishammuddin sepatutnya membangkitkan pertindihan tugas di antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam pengurusan vaksin yang kelihatan sangat cacamarba.

"Setelah lebih 100 hari sejak tarikh pengisytiharan darurat pada 14 Januari lalu, rakyat telah meletakkan harapan kepada kabinet bersaiz raksasa untuk mencari jalan keluar dalam menghadapi pandemik Covid-19 namun ternyata kerajaan telah gagal.

"Kebanyakan menteri dan timbalan menteri dilihat tidak kompeten serta lebih banyak mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat politik yang menghina serta menyakitkan hati rakyat.

"Sebagai seorang yang cintakan negara dan percaya kepada demokrasi, saya yakin Hishammuddin yang kononnya disebut-sebut sebagai perdana menteri dalam penantian (prime minister in waiting) berkongsi semangat yang sama," katanya.

Malah kata Shamsul, daripada mengkritik kelemahan PN adalah lebih baik untuk Hishammuddin memainkan peranan mendesak perdana menteri Muhyiddin supaya menamatkan darurat dengan segera dan memulihkan demokrasi dengan membuka parlimen.

Lihat Komen
ADS