Malaysiakini
BERITA

Warisan nafi keluar kenyataan bersama PAS sokong Hisham sebagai PM baru

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jun 2021, 9:50 pagi

Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini menafikan kenyataan yang tular kononnya parti itu dan PAS menyokong Menteri Luar, Hishammuddin Hussein sebagai calon perdana menteri yang baru.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr menafikan kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai fitnah dan akan membuat laporan polis mengenainya.

Kenyataan yang tular itu turut memalsukan tandatangannya dan juga Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Berdasarkan kenyataan yang tular bertarikh 11 Jun itu, ia ditandatangani setiausaha agung Warisan dan PAS dengan menggunakan kepala surat parti PAS.

"Saya sama sekali tidak pernah sama ada bagi pihak Warisan mahupun atas kapasiti peribadi untuk mempersetujui atau menandatangani apa-apa persetujuan muafakat bersama PAS untuk menyokong mana-mana individu sebagai perdana menteri.

"Warisan tidak pernah terlibat dengan kenyataan media itu," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Loretto Padua Jr 

Tambah Loretto perbuatan seperti itu adalah tindakan orang-orang yang kemaruk kuasa sehingga sanggup memfitnah dan memalsukan tandatangannya.

Terdahulu hari ini tular satu kenyataan media menggunakan lambang PAS yang ditandatangani bersama Loretto dan Takiyuddin.

Kandungan kenyataan tersebut antara lain kononnya kedua-dua parti bersepakat untuk menyokong Hishammuddin sebagai perdana menteri.

Ia bagi menyelamatkan negara daripada terus berada dalam krisis kesihatan akibat Covid-19.

"Saya akan membuat laporan polis selepas berbincang dengan peguam saya berkenaan perkara ini," kata Loretto lagi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.