Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis, Jabatan Tenaga Kerja bercanggah status pekerja Pakistan bunuh diri

Status dokumen pekerjaan Shahzad Ahmed, warga Pakistan yang bunuh diri setelah majikannya dilaporkan tidak membayar gajinya selama empat bulan, masih tidak dapat dipastikan.

Ini selepas dua agensi kerajaan melaporkan hasil siasatan yang berbeza.

Menurut siasatan Jabatan Tenaga Kerja, majikan Shahzad mengakui bahawa dia adalah pekerja warga asing tanpa dokumen, yang mula bekerja dengan syarikat itu pada Januari 2019.

Bagaimanapun, polis pula mengesahkan bahawa Shahzad memiliki permit kerja yang sah.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Ashari Abu Samah berkata polis telah melengkapkan siasatan dan mendapati Shahzad mempunyai permit kerja yang sah dan belum tamat tempoh.

"Sebagai rekod, mangsa memiliki semua dokumen, termasuk pasport dan permit kerja yang masih sah," kata Ashari.

Oleh itu, polis telah menutup kes tersebut dan mengklasifikasikannya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Ashari berkata polis akan mengambil tindakan sekiranya pihaknya mendapati syarikat yang terlibat menggaji pekerja asing tanpa dokumen.

Minggu lalu, Jabatan Tenaga Kerja memberitahu Malaysiakini bahawa sukar untuk pihak berkuasa mengambil tindakan lebih lanjut terhadap majikan lelaki itu kerana dia adalah pekerja warga asing tanpa dokumen.

Ini kerana pekerja asing tanpa dokumen tidak mempunyai izin kerja atau kontrak pekerjaan, yang merupakan bukti penting untuk mendakwa majikan yang terlibat di mahkamah, katanya.

Oleh yang demikian, jabatan itu hanya boleh menyenaraihitamkan syarikat tersebut, yang melarang mereka mengambil pekerja asing di masa depan.

Ketika dihubungi sekali lagi semalam, Jabatan Tenaga Kerja sekali lagi berkata pemeriksaannya dengan Jabatan Imigresen mendapati Shahzad "tidak mempunyai permit kerja (PLKS) yang sah."

Jabatan itu juga berkata mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan kes seperti itu berulang, termasuk dengan melancarkan portal dalam talian untuk membolehkan pekerja membuat aduan.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan juga telah mengumumkan rancangan untuk melaksanakan modul e-Wages dalam masa terdekat, bagi memantau pembayaran gaji bulanan kepada pekerja secara masa nyata.

Majikan terjejas akibat PKP

Mengenai keewatan pembayaran gaji, Ashari berkata polis telah merekodkan keterangan bekas majikan Shahzad dan mereka mengaku hanya boleh membayar sebahagian gaji kepada pekerja kerana berdepan masalah kewangan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Siasatan mendapati syarikat itu tidak mempunyai masalah dengan pembayaran gaji sebelum PKP.

“Syarikat berkata pekerja mereka berhenti bekerja selama beberapa bulan semasa PKP tetapi pihaknya masih membekalkan barang keperluan seperti makanan.

"Namun, ketika pekerja mereka mula bekerja semula, syarikat yang merupakan subkontraktor (untuk sebuah projek pembinaan) menghadapi masalah kewangan kerana kontraktor utama membayar mereka lewat.

"Itulah sebabnya majikan tidak dapat membayar gaji penuh kepada pekerja mereka," kata Ashari.

Shahzad minta gaji penuh

Ashari juga berkata polis telah merekodkan kenyataan lima lagi pekerja asing dari syarikat yang sama.

Menurut Ashari, kelima-lima mereka juga tidak mendapat gaji penuh dari syarikat terbabit, namun mengesahkan menerima bantuan bekalan makanan semasa PKP.

Polis juga dimaklumkan Shahzad berusaa mendapat gaji penuh daripada majikan.

"Dia bertemu dengan majikannya untuk mendapatkan gaji penuh dan majikan kemudian berjanji akan membayarnya pada awal Mei," kata Ashari.

Pada 26 April lalu, Malaysiakini melaporkan Shahzad dipercayai bunuh diri di sebuah tapak pembinaan sekitar Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 17 April, setelah menyiarkan video dirinya mendakwa majikan gagal membayar gajinya selama beberapa bulan.

Saravanan memberitahu Malaysiakini bahawa syarikat tersebut telah dikenakan larangan mengambil pekerja warga asing.

Selepas kematian Shahzad, syarikat itu berjanji akan membayar gaji berkenaan selain muhibah sebanyak RM3,175 kepada keluarga Shazad melalui Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia.

Majikan itu juga bersetuju untuk menanggung kos pengangkutan jenazah Shahzad ke Pakistan dan menandatangani surat komitmen dengan Suruhanjaya Tinggi Pakistan.

Lihat Komen
ADS