Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Telefon kualiti rendah: Kalau dibagi sardin, takkan kita minta ayam - MB Perak

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad mempertahankan tindakan kerajaan negeri mengedarkan 20,000 telefon pintar kepada pelajar, ekoran kritikan bahawa peranti yang diedarkan itu tidak sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Dalam satu sidang media dalam talian tengah hari ini, dia menjelaskan bahawa telefon itu bukanlah dibeli menggunakan dana awam, sebaliknya merupakan sumbangan daripada Yayasan YTL.

Majlis mesyuarat kerajaan negeri Perak telah meluluskan pengedaran itu selepas diberikan taklimat oleh pihak yayasan dan memutuskan bahawa model telefon itu sesuai digunakan untuk PdPR.

Telefon yang menjadi pertikaian dikenal pasti sebagai telefon model YES Altitude 3 yang dijual oleh YTL Communications.

Antara spesifikasinya ialah skrin 5 inci, resolusi 854x480 piksel, pemproses 1.3GHz, 1GB RAM dan 8GB storan.

Telefon itu diedarkan kepada pelajar daripada keluarga B40 di bawah inisiatif “Tuisyen Cikgu Saarani”, yang dinamakan bersempena nama Saarani.

Bila kita susah, orang nak sedekah kita terima. Tak adalah demand-demand (meminta itu dan ini) kan?

“Kalau masa kita tengah susah ni, orang bagi ikan sardin, ikan sardinlah kita makan. Tak ada kita (minta) nak makan ayam pula.

“Itulah ceritanya. Jadi nak gambarkan bahawa telefon pintar itu diberi secara percuma dan kami menerimanya dan kami telah pun mengedarkan kepada pelajar-pelajar.

“Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Yayasan YTL dan mengalu-alukan mana-mana lagi syarikat yang (mahu) berkolaborasi nak bagi sumbangan secara percuma kepada kerajaan negeri khususnya kepada orang miskin dalam apa juga bentuk bantuan untuk tujuan pelajaran,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri telah menerima 13,000 telefon daripada 20,000 yang dijanjikan. Setiap peranti dilengkapi dengan pelan data internet selama 12 bulan.

Pejabat pendidikan daerah telah ditugaskan untuk menentukan pelajar yang akan menerima telefon pintar percuma itu.

Ditanya sama ada kerajaan negeri bercadang untuk menaik taraf telefon pintar berkenaan agar lebih sesuai untuk keperluan kelas dalam talian, kata Saarani, buat masa ini, ‘lebih baik ada daripada tiada’.

“Lebih baik ada daripada tiada. Kalau tidak ada sumbangan Yayasan YTL ini, bermakna ribuan anak-anak B40 tidak ada satu peranti pun untuk mereka ikuti PdPR.

“Sekarang ada, dengan spesifikasi yang ada itu mencukupi untuk mengikuti PdPR. Jadi saya nasihatkan kepada kawan-kawan di sana, daripada tiada, lebih baik ada. Mulakan dengan apa yang ada.

“Kemudian biarkan datanglah kemudahan-kemudahan yang lain, Insya-Allah,” katanya lagi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud sebelum ini dilaporkan berkata bahawa spesifikasi rendah telefon berkenaan hanya sesuai digunakan bagi tujuan pembelajaran, namun setidak-tidaknya dapat mengelak ia disalah guna bagi tujuan seperti bermain permainan video.

Ahli Parlimen pembangkang seperti Steven Sim dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik kerajaan negeri Perak kerana tidak menyediakan peranti yang lebih berkualiti untuk keperluan pelajar.

MB tak bimbang

Ditanya apakah dia bimbang berkenaan insiden telefon pintar sumbangan YES Communications dikatakan terbakar ketika digunakan untuk PdPR, kata Saarani dia tidak berasa demikian.

Kejadian itu berlaku di Gombak, Selangor dan tidak mempunyai kaitan dengan program kerajaan negeri Perak.

“Daripada 100,000 telefon yang telah diedarkan seluruh Malaysia, hanya satu yang terbakar. Takkan itu kita nak jadikan dia sebagai satu punca untuk kita membuat siasatan.

“Di rumah saya pun saya beli banyak bulb (mentol) lampu. (Kalau) Satu terbakar, takkan saya nak marah syarikat itu,” katanya lagi.

Semalam, seorang wanita memberitahu Malaysiakini bahawa dia menyaksikan sendiri telefon anak saudara lelakinya yang diterima daripada sumbangan Jaringan Prihatin terbakar ketika mengikuti kelas dalam talian Isnin lalu.

Meskipun bersyukur tiada siapa tercedera dalam insiden itu, dia mengaku ketakutan akibat kejadian itu.

Kerajaan telah bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan program Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion, yang bertujuan untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah mendapatkan peranti dan akses internet untuk PdPR.

YES di bawah YTL Communications merupakan salah satu syarikat telekomunikasi yang turut serta dalam program itu. Yayasan YTL turut mempunyai program “Belajar dari rumah” yang menyasarkan keluarga B40 yang memerlukan peranti.

Lihat Komen
ADS