Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan ambil maklum titah Agong
Diterbitkan:  Jun 17, 2021 4:46 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Kerajaan Perikatan Nasional berkata mereka mengambil maklum akan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah seperti yang dinyatakan Istana Negara semalam.

Dalam kenyataan petang ini Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri sudah menyembah maklum dan menasihati Agong mengenai pengurusan pandemik Covid-19 sebelum ini.

Selain itu katanya Agong juga disembah maklum mengenai penguatkuasaan Ordinan Darurat, pelaksanaan Program Imuniasi Covid-19 Kebangsaan serta hal-hal lain.

"Menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara," katanya.

Kenyataan itu dibuat PMO hampir 24 jam selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan berhubung penzahiran pandangan Al-Sultan Abdullah mengenai perlunya parlimen bersidang secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah berpendapat sidang itu akan membolehkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Untuk rekod selain Istana Negara, turut mengeluarkan kenyataan semalam ialah Majlis Raja-raja yang menegaskan tiada keperluan darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Majlis Raja-raja juga menyatakan sokongan mereka kepada pendirian Agong yang menitahkan agar parlimen segera bersidang.

Turut disentuh dalam kenyataan berkenaan ialah pendirian raja-raja Melayu terhadap pentingnya wujud kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti rakyat.

Mengulas pandangan Agong semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berpendapat tempoh jangkaan kerajaan untuk membuka parlimen - iaitu Sept atau Okt ini - adalah sesuai.

Setiausaha Agung PAS itu juga berkata Agong tidak menyatakan secara khusus bila sidang itu akan diadakan sebaliknya sekadar "secepat mungkin".

"Agong pun tidak menitahkan bulan berapa, tetapi secepat mungkin.

"PM kita kata pun bulan sembilan atau 10... sekarang kita dah hampir penghujung bulan enam, bulan tujuh, lapan, sembilan pasti akan diadakan tu," katanya malam tadi. 

Lihat Komen
ADS