Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysiakini peroleh penghargaan khas di anugerah Sopa
Diterbitkan:  Jun 24, 2021 10:32 PM
Dikemaskini: 2:33 PM

Malaysiakini mendapat penghargaan khas dalam majlis Anugerah Persatuan Penerbit-penerbit Asia (Sopa) yang berlangsung di Hong Kong malam ini.

Penghormatan itu diberi melalui Anugerah Kecemerlangan Laporan Penyiasatan hasil pembabitan Malaysiakini dalam projek Fail FinCEN iaitu berkaitan aliran "wang kotor".

Kira-kira 400 wartawan di seluruh dunia terlibat dalam siasatan berkenaan dengan dikepalai Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) dan membabitkan fail-fail bank dibocorkan kepada BuzzFeed News.

Dalam majlis tahunan untuk kali ke-23 itu agensi berita The Associated Press memperoleh anugerah tertinggi dalam kategori sama melalui laporan mereka berkaitan eksploitasi buruh dalam industri kelapa sawit - dan disokong oleh bank antarabangsa dan sektor perniagaan - di Malaysia dan Indonesia.

Laporan Penjejak Covid-19 yang dibangunkan Malaysiakini pula disenarai pendek sebagai satu daripada tiga finalis untuk kategori Kewartawanan Khidmat Awam. Ia diungguli agensi Radio Television Hong Kong.

Sementara itu, akhbar prodemokrasi Hong Kong yang masih bertahan, Apple Daily, menyambut hari ini terakhir operasi mereka hari ini dengan memenangi dua anugerah, termasuk laporan eksklusif berkaitan pengawasan perkhidmatan penerbangan kerajaan ke atas bot laju mengangkut 12 penduduk Hong Kong yang melarikan diri atas arahan polis.

Apple Daily dilaporkan berkata akhbar itu terpaksa menghentikan operasi selepas polis Hong Kong membekukan jutaan dolar aset mereka, menggeledah pejabat dan menangkap lima editor serta eksekutif tertinggi minggu lalu.

Mereka didakwa bersekongkol dengan pihak asing untuk membahayakan keselamatan negara.

Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet dalam ucapan khas sebelum itu berkata peningkatan peranan media untuk membantu memerangi pandemik Covid-19 global menjadikan perjuangan untuk kebebasan media lebih penting sekarang.

"Kejelasan tentang apa yang berlaku, termasuk kesan dasar kesihatan awam, hanya dapat diasaskan oleh sumber-sumber bebas.

"Kebebasan media sangat penting untuk memerangi maklumat salah, pembohongan yang disengajakan untuk memajukan cita-cita politik atau kepentingan komersial yang meningkatkan polarisasi sosial dan menghancurkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi penting," katanya.

Covid-19 memburukkan lagi keadaan

Sejak Jan 2019, kata Michelle Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mencatatkan sekurang-kurangnya 137 wartawan terbunuh di seluruh dunia, dengan dua pertiga daripadanya di negara yang tidak mengalami konflik bersenjata.

Katanya ramai yang terbunuh ketika melaporkan demonstrasi, atau ketika menyiasat kegiatan jenayah terancang, aliran kewangan haram, rasuah, kerosakan alam sekitar atau melalui pembabitan kerajaan.

"Situasi ini terus wujud dengan adanya kekebalan," katanya sambil menambah situasi itu berlaku dengan adanya pembabitan di antara kumpulan yang terlibat serta pihak berkuasa.

Katanya ramai juga wartawan mengalami kekerasan dan ancaman keganasan secara berterusan, kempen mencemar dan menghasut secara dalam talian yang keji, terutama yang menyasarkan wartawan wanita, minoriti agama dan kumpulan LGBTQ.

Menurut Michelle serangan kerajaan ke atas dimulai lama sebelum wujudnya Covid-19 dan wabak itu hanya memburukkan lagi cabaran yang sedia ada.

"Lama sebelum Covid-19, kami melihat banyak kerajaan - termasuk di Asia - menerapkan undang-undang samar-samar mengenai keselamatan negara, fitnah, hasutan, berita palsu, atau keamanan siber untuk membungkam kritikan yang dirasakan baik dalam bentuk cetak maupun dalam talian, termasuk suara media bebas," katanya.

Sejak awal tahun ini kumpulan pejuang kebebasan media di Malaysia turut merekodkan sejumlah kes membabitkan wartawan yang dihubungi polis untuk membantu siasatan berdasarkan laporan yang mereka sediakan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS