Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga warga emas gelisah, harap janji temu vaksin dalam dua minggu

Bimbang dengan jumlah jangkitan kes harian Covid-19 yang meningkat, ahli keluarga kepada warga emas berharap supaya proses vaksinasi dilakukan dalam tempoh dua minggu ini seperti yang dijanjikan.

Ada di antara mereka yang telah mendaftarkan ibu bapa mereka melalui aplikasi MySejahtera sejak Februari dan Mac lalu. Malah tidak pernah tertinggal untuk menyemak status janji temu vaksinasi mereka setiap hari.

Bagi Ahmad Tarmizi Abd Rahim yang tinggal bersama ibu dan bapanya di Seremban, Negeri Sembilan iaitu masing-masing berusia 62 dan 67 tahun berkata disebabkan bimbang sekiranya nama kedua ibu bapanya terlepas pandang, dia hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan untuk bertanya mengenai senarai nama menunggu.

Bagaimanapun apabila dia tiba ke sana, katanya terdapat 1,000 orang di dalam senarai menunggu.

“Jadi tak guna juga kalau kena tunggu sampai 1,000 orang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tarmizi menceritakan yang ibu bapanya turut membandingkan rakan-rakan mereka yang seusia dan telah memperolehi sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Mereka check hari-hari (status janji temu) takut push notification tak keluar… dari Mac sampai hari ni check hari-hari.

“Sampai satu tahap mereka kata kalau ada, adalah kalau tak ada, tak apalah,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan sebanyak 5,841 kes baru Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam, di mana Selangor kekal menjadi negeri dengan kes jangkitan harian tertinggi iaitu sebanyak 2,072 dan Negeri Sembilan (781) sebagai kedua tertinggi.

Walaupun sepanjang perintah kawalan pergerakan dia bertanggungjawab membeli keperluan rumah dan melakukan sebarang tugasan di luar untuk ibu bapanya, Tarmizi berharap supaya proses janji temu vaksin dipercepatkan seperti yang dijanjikan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

“Saya harap dia betul-betul kotakan janji kalau dua minggu tu. Untuk saya, saya tak kisah lagi sebab saya muda lagi tapi mak dengan ayah saya tu,” katanya.

Dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) memasuki fasa ketiga, Khairy sebelum ini berkata kira-kira satu pertiga warga emas yang mendaftar pada Fasa 2 masih menunggu vaksin mereka bakal menerima janji temu mereka dalam satu atau dua minggu ini.

Sebelum ini, ramai pengguna media sosial mempersoalkan mengapa penerima yang berisiko lebih rendah mendapat vaksin mereka, sementara orang tua dan orang yang berisiko lebih tinggi masih menunggu walaupun mendaftar pada bulan Februari.

Sebilangan besar kematian Covid-19 di negara ini terdiri daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai komorbiditi seperti diabetes, penyakit jantung, darah tinggi, penyakit hati dan obesiti.

Risau bapa terdedah risiko jangkitan

Bagi Nurul Nurkhalidah Abdul Khalil, walaupun bapanya yang berusia 60 tahun dan menghidap penyakit darah tinggi yang tidak serius, tetapi dia risau bapanya yang terdedah dengan risiko jangkitan.

“Golongan warga emas adalah golongan yang berisiko untuk dijangkiti. Saya risau sebab kadang-kadang ayah saya ada juga keluar rumah untuk membeli barang keperluan rumah dan terdedah dengan sekeliling.

“Jika telah divaksin kurang risiko untuk dijangkiti. Dan lagi satu, Negeri Sembilan adalah salah satu negeri yang mencatat kes bilangan tinggi pada setiap hari,” katanya.

Menyedari bahawa Negeri Sembilan antara yang lambat menerima vaksin, dia berpendapat ia mungkin disebabkan PPV yang tidak banyak di kawasannya.

“Ayah saya juga mengeluh kenapa dia tidak dapat tarikh lagi. Hari-hari ayah saya semak MySejahtera,” katanya bahawa bapanya telah mendaftar sejak Februari lalu.

“Saya mohon pihak bertanggungjawab ambil pandang tentang isu ini, dengan peningkatan kes di Negeri Sembilan yang tinggi sejak kebelakangan ini,” katanya.

Daftar melalui ketua kampung

Di Kuala Selangor pula, Hamzah Mustajab, 59, yang menunggu janji temu vaksinasi untuk ibunya Tarwiyah Marjuni, 84, berkata dia berharap supaya program vaksinasi di kalangan warga emas dipandang serius.

Hamzah yang merupakan seorang pesara berkata dia menghantar butiran ibunya kepada ketua kampung untuk divaksinasi sejak dua minggu lalu kerana pada mulanya tidak mendapat maklumat yang jelas sama ada keadaan kesihatan ibunya yang tidak dapat berjalan dan nyanyuk boleh divaksin.

Menurut Hamzah, kebimbangan utamanya merupakan sekiranya ada yang mengunjungi rumahnya dan membawa jangkitan virus tersebut. Dia tinggal bersama ibunya dan seorang lagi anak buah status orang kurang upaya (OKU).

“Memandangkan jangkitan Covid ni berada di sekeliling kami - memang kami selalu dengar, dari kampung-kampung sebelah.

“Setiap hari ada berita-berita Covid yang merisaukan saya, sebab itulah saya sangat berharap agar vaksin ini dapat dijalankan dengan serius…maknanya disegerakanlah sama ada untuk warga emas atau orang yang sepatutnya,” katanya yang telah selesai mendapat dua dos vaksin pada pertengahan Jun.

Sementara itu, Nurul Zahida Buniran, 24, yang juga telah menghantar nama neneknya Sawinam Jalal, 78, ke ketua kampung pada dua minggu lalu, turut berharap neneknya mendapat janji temu vaksin secepat mungkin.

Katanya, walaupun bekerja di kilang secara bergilir-gilir sejak PKP pertama, dia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan bertegas bagi mereka yang ingin melawat neneknya.

“Sebagai cucu saya risau sebab ayah saya dan nenek saya warga emas. Saya sebagai cucu yang berasa bimbang.

“Sebelum masuk rumah, kami sanitise satu badan baru jumpa dengan nenek. Kalau orang datang rumah pun saya akan cakap sebelum jumpa nenek sanitise dulu. Tak boleh masuk terus,” katanya.

Menjelaskan mengenai pendaftaran neneknya yang dibuat pada bulan ini, katanya mereka tidak mendapat penerangan yang jelas berhubung kesan sampingan vaksin terhadap warga emas, sehinggalah bapanya tidak mempunyai sebarang masalah selepas divaksin.

“Kiranya kalau vaksin tu ke tempat jauh pun kami tak mampu nak pergi sebab kami tak ada transport - hanya motor. Ni kerajaan nak bekalkan vaksin dari rumah ke rumah pun dah alhamdulillah,” katanya. 

Lihat Komen
ADS