Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Redah 5km ke puncak bukit untuk belajar dalam talian

Sekitar 400 pelajar sekolah dan mahasiswa Universiti di lima kampung di mukim Mambong di Kuala Krai, Kelantan membuktikan betapa cekal dan gigihnya mereka dalam menjalani pembelajaran dalam talian.

Mereka yang kebanyakannya tinggal di Kampung Bahagia, manakala selebihnya dari kampung Sungai Rimau, Raba, Mambong dan Johol yang terletak di kawasan pedalaman Kuala Krai berdepan cabaran tersendiri kerana kekangan rangkaian internet.

Dalam satu-satu masa, seramai 20 hingga 30 pelajar dari kampung-kampung ini ke puncak bukit di Kampung Bahagia bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau mahu melayari internet bagi mendapatkan maklumat berkenaan pembelajaran mereka.

Mereka terpaksa menempuh perjalanan lima kilometer untuk ke kawasan puncak bukit itu memandangkan hanya di situ saja mereka mendapat capaian internet yang kuat.

Ada yang dihantar oleh keluarga dan ada juga yang menunggang motosikal sendiri. Perjalanan rata-ratanya mengambil masa 15 minit.

Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mimi Aina Syahira Muhamad, 17, berkata dia terpaksa menunggang motosikal setiap hari untuk ke kawasan berkenaan bagi mengikuti PdPR.

Menurutnya, sudah menjadi rutin buat dirinya dan rakan-rakan untuk ke lokasi tersebut setiap kali PdPR berlangsung atau bagi menyiapkan kerjasa sekolah.

"Di rumah memang susah nak dapat capaian internet, jadi saya dan rakan-rakan terpaksa ke puncak bukit ini.

"Di sini tidak sunyi kerana ramai yang datang setiap masa memandangkan kini semua ada PdPR," katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab SMU(A) Saadatul Qura, Kuala Krai.

Bagi pelajar tingkatan 3, Siti Aisyah Radhiah Ramli pula, capaian internet di puncak bukit itu dapat membantu pelajar sepertinya kerana kawasan kampung tidak ada liputan telekomunikasi.

"Sepanjang mengikuti PdPR, saya pernah alami kecederaan di kaki akibat terjatuh motosikal ketika dalam perjalanan, ketika melalui jalan balak yang tidak rata.

"Oleh itu, kami berharap pihak yang berkaitan dapat menyelesaikan masalah capaian internet di kawasan kampung kami dengan membina menara telekomunikasi," katanya ketika ditemui ketika tinjauan media, semalam.

Nurul Aini Najiha Azman, 15, juga berkata dia tiada pilihan dan terpaksa meredah perjalanan selama 15 minit dengan motosikal untuk ke kawasan itu.

"Jika tidak ke sini, kami tak boleh ikuti PdPR. Jadi kami amat berharap menara telekomunikasi dapat dibina secepat mungkin untuk kemudahan penduduk khususnya pelajar seperti kami ini yang mengikuti pembelajaran dalam talian," katanya.

Sementara itu Adun Guchil, Hilmi Abdullah, mengambil inisiatif dengan membina bangsal di puncak bukit tersebut selepas kawasan itu menjadi tumpuan pelajar.

Katanya, kemudahan itu disediakan sejak dua minggu lalu itu bagi memberi keselesaan kepada pelajar untuk belajar selain selain tempat berteduh daripada cuaca hujan atau panas.

Lihat Komen
ADS