Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelaskan umat Islam dibenarkan mengucapkan "selamat" kepada penganut agama lain yang hendak merayakan perayaan agama mereka.

Menurutnya orang Islam hanya dilarang turut sama merayakan atau membesar-besarkan agama lain kerana perbuatan itu dibimbangi menjejas atau menggugat akidah.

"Kalau setakat nak kata "Happy Deepavali" atau "bergembiralah di hari Deepavali", tak apa, asalkan kita tak turut menyambutnya atau membesar-besarkannya.

"Malah kalau setakat nak menghormati jiran, pergi ke rumahnya sebagai tetamu, pun boleh, asalkan kita tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam," jelasnya kepada malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas tindakan ketua jabatan Syariah Takaful Malaysia Mohd Fauzi Mustaffa yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini apabila mengedarkan emel meminta kakitangan Islam syarikat itu berhati-hati dengan ungkapan ucapan yang berkaitan kepercayaan agama lain.

Menurut e-mel itu lagi, antara ucapan perayaan yang perlu dielakkan oleh kakitangan Islam Takaful ialah "Happy Deepavali, Happy Durga Pooja dan Happy Lakshmi Pooja" kerana ucap selamat itu membabitkan Tuhan mereka.

Harussani berkata, orang Islam dilarang sama sekali mencampuradukkan perayaan orang Islam dengan perayaan agama lain, dalam apa jua bentuk sekalipun.

Mohon maaf

Hukum merayakan perayaan agama lain sudah disepakati oleh Jawatankuasa Syariah Negeri Perak sebagai salah satu perbuatan yang diharamkan.

Justeru itu, katanya, umat Islam dilarang merayakan perayaan agama lain biar dalam apa bentuk sekalipun.

"Biarkanlah mereka merayakannya mengikut cara mereka tanpa melibatkan diri kita selagi kita mengakui keislaman kita," katanya.

Dalam pada itu sebagai reaksi kepada tindakan Mohd Fauzi itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas menggesa pegawai syarikat insuran itu disingkirkan kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

Dalam kenyataannya kepada MStar , Dr Syed Ali berkata, Fauzi tidak layak memegang jawatan yang disandangnya sekarang.

Sementara itu semalam Takaful Malaysia telah memohon maaf berhubung e-mel yang ditulis oleh Fauzi itu.

Dalam satu kenyataan yang dimuatkan dalam laman web rasminya, syarikat insurans itu memohon maaf sekiranya e-mel tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan salahfaham.

Ia menjelaskan e-mel tersebut adalah untuk edaran dalaman dan merupakan satu nasihat atau pandangan peribadi kepada kakitangannya sahaja.