Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Hanya mereka gila berpolitik kata M’sia gagal tangani Covid-19
Diterbitkan:  Jul 12, 2021 5:58 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membidas pihak yang mengkritik bahawa kerajaan telah gagal dalam menangani wabak Covid-19, dengan menyifatkan golongan tersebut sebagai 'gila berpolitik'.

Abdul Hadi turut menegaskan bahawa belum ada negara di dunia ini yang boleh mendabik dada mengatakan mereka telah berjaya menghadapi penularan Covid-19, terutama ketika varian berbahaya seperti varian Delta sedang merebak.

“Hanya mereka yang masih gila berpolitiking membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19, seolah-olah mereka berada di planet lain bukan di alam bumi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Membidas mereka yang disifatkan sangat rakus untuk berkuasa, Ahli Parlimen Marang itu turut menyentuh mengenai kegagalan Pakatan Harapan dalam mengotakan janji-janji dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja, sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan.

“Pasukan barisan hadapan berusaha penuh gigih dengan mengambil langkah pencegahan khususnya meningkatkan jumlah suntikan vaksin dengan seluas-luasnya bagi menyelamatkan rakyat, serta memberikan kefahaman akan kepentingannya kepada seluruh rakyat,” katanya.

'Seperti si buta marah orang bantunya lintas jalan'

Dalam kenyataannya yang berkias, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu memberi gambaran bahawa tindakan mengeluarkan kenyataan sedemikian seperti tidak bersyukur dengan pengorbanan yang dilakukan dalam memerangi wabak ini.

“Terdapat juga mereka yang berani mencabar pihak yang menunaikan kewajipan menangani wabak ini, seperti orang buta memarahi orang yang menolongnya untuk menyeberangi jalan yang sibuk dan lalu lintas yang berbahaya.

“Sepatutnya berterima kasih kerana ada orang yang menolongnya, tetapi dibalas dengan maki hamun, seolah-olah tiada pertimbangan akal yang sihat, sudahlah matanya pula buta.

“Kepada mereka yang dimaki, mudah-mudahan mendapat pahala percuma, manakala mereka yang memaki mendapat dosa dengan mudah.

“Jika bernasib malang, mereka boleh menghadapi hukuman atau tindakan undang-undang, bersekali dengan dosa, kerugian di dunia dan di akhirat jika tidak meminta maaf dan bertaubat,” katanya.

Tambahnya, dalam keadaan yang mencabar seperti sekarang, semua pihak perlu memainkan peranan untuk menyelamatkan keadaan tanpa kepentingan peribadi.

“Di sinilah pentingnya memelihara perpaduan dan permuafakatan yang sedia terjalin bagi meredakan ketegangan dan mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

“Islam juga melarang para penganutnya daripada berputus asa,” katanya. 

Lihat Komen
ADS