Melampau! Itulah ulasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai tindakan Mat Rempit menyerang Balai Polis Kubang Semang di Bukit Mertajam Ahad lalu.

Beliau juga menyifatkannya sebagai satu kejadian yang serius, melampau dan jelas tidak menghormati undang-undang.

"Malah ia juga boleh membahayakan nyawa orang (polis)," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Menurut laporan Bernama beliau berkata, ekoran kejadian, dua pelajar politeknik berumur 19 dan 20 tahun sudah ditahan kerana cuba melanggar anggota polis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian sekumpulan "Mat Rempit" bertindak ganas dengan membaling batu ke arah polis dan balai polis terbabit, kerana membantah penahanan dua rakan mereka yang dipercayai terbabit dalam perlumbaan haram awal pagi Ahad lalu.

Siasatan dijalankan

Ditanya sekiranya masih ada lagi tangkapan akan dibuat, beliau berkata, siasatan sedang dijalankan.

Musa berkata, tiada anggota polis cedera dalam kejadian itu dan balai polis berkenaan juga tidak mengalami kerosakan serius, kecuali kereta persendirian ketua balai polis itu yang rosak sedikit akibat ditendang oleh kumpulan berkenaan.

Beliau seterusnya mengalu-alukan usaha Putera Umno mendekati "Mat Rempit' melalui penganjuran aktiviti-aktiviti membabitkan mereka dengan tujuan untuk mendidik.

Katanya selain penguatkuasaan, aspek pendidikan penting dalam menanggani masalah lumba haram di kalangan penunggang motosikal.

Sementara itu merujuk kepada rondaan sepanjang masa oleh polis pelbagai pangkat termasuk pegawai di kawasan pelancong di Bukit Bintang, Kuala Lumpur mulai Ahad lalu, Musa berkata langkah itu akan diteruskan.