Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timbalan menteri: Petugas keletihan mungkin punca kes suntik 'picagari kosong'
Diterbitkan:  Jul 21, 2021 7:05 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali tidak menolak kemungkinan yang kes "picagari kosong" berpunca daripada petugas vaksin yang keletihan.

Bagaimanapun, dia berkata tindakan tegas akan diambil jika didapati perkara itu disengajakan.

"Ada kemungkinan," katanya ketika ditanya jika jika keletihan adalah punca kepada perkara itu, dalam sidang media selepas kunjungan di pusat pemberian vaksin (PPV) Sungai Siput hari ini.

"Kalau ia berlaku disebabkan keletihan, dia (petugas) patut rehat.

"Dan kalau ia disengajakan, itu satu perbuatan yang sangat jahat dan tindakan sepatutnya perlu diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) jika ia terbukti (disengajakan)," katanya lagi.

Malaysiakini mendapat rakaman audio sidang media Noor Azmi.

Noor Azmi yang merupakan bekas doktor perubatan menegaskan, suntikan vaksin adalah perkara serius dan usaha menggiatkan lagi vaksinasi tidak boleh menggadaikan mutu pelaksanaannya.

"Kalau boleh kita nak capai 500,000 (dose sehari) untuk cepat capai 80 peratus (kada vaksinasi populasi).

"Tetapi kita nak kualiti, maknanya jangan pula kita cipta satu kluster, jadi kita jaga jarak dan sikap kita.

"Seperti yang saya sebutkan tadi, kesilapan boleh berlaku apabila kita terlalu letih," katanya, sambil menambah kerajaan sedia menambah petugas di kawasan yang memerlukan bantuan.

Terdahulu minggu ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengenal pasti tiga dakwaan berkaitan suntikan picagari kosong dan memaklumkan polis telah memulakan siasatan.

Insiden pertama melibatkan seorang perempuan yang dirakam diberi suntukan kosong di PPV pandu lalu di kem askar Lapangan Terbang di Sungai Petani, Kedah.

Insiden kedua adalah individu bernama Tan Wing Sam, yang mempersoalkan petugas di PPVPusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, kerana menyuntiknya dengan picagari kosong. Dia kemudiannya menerima suntikan yang lain.

Dia juga membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Kes ketiga berlaku kepada seorang individu bernama Ariff di PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC). Dia membuat laporan polis selepas mengesyaki hampir diberi suntikan kosong.

Semalam, polis Kajang menafikan dakwaan Ariff dan teman wanitanya yang membuat ciapan berhubung perkara itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seorang lagi yang membuat laporan polis berhubung perkara itu adalah Simon Ng, yang menyedari dia disuntik dengan picagari kosong setelah melihat semula rakaman video yang diambil.

Dia menerima suntikan di PPV Hospital Banting di Selangor pada 6 Julai lalu.

Terdahulu, ketika ditanya berkenaan insiden melibatkan Ng, Noor Azmi menafikan petugas vaksin keletihan sebagai punca kerana suntikan dibuat sambil diperhatikan petugas KKM.

Pada masa sama, Noor Azmi memberi amaran berhubung tindakan menyebarkan maklumat salah.

"Ini bukan masa untuk melawak.

"Saya amat tidak setuju dan sangat kesal dengan berita buruk ini. Selain kita risau peningkatan dan penularan kes Covid-19, kita juga risau penularan berita palsu. Kita kena tabayyun," katanya ketika itu.

Lihat Komen
ADS